MUAR: Mayat seorang lelaki pemandu Proton Saga yang terjunam ke Sungai Panchor di Pagoh semalam berjaya ditemui dan dikeluarkan oleh pasukan mencari dan menyelamat pada jam 1.01 pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Pagoh Pegawai Bomba Kanan I Nor Alfatah Omar berkata mangsa Mud Husni Mahmud berusia 47 tahun ditemui dalam kereta berwarna hitam selepas kenderaan berjaya dinaikkan menggunakan kren.
Beliau menyatakan kereta dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi mencari dan menyelamat selama 11 jam.
Kenderaan tersebut ditemui pada kedalaman kira-kira 15 meter di dasar sungai.
Pasukan Penyelamat Di Air dari Balai Bomba dan Penyelamat Muar dan Balai Bomba dan Penyelamat Skudai dikerahkan ke lokasi untuk melakukan beberapa selaman khas.
Pada jam 10.21 malam pasukan Penyelamat Di Air berjaya mengesan kenderaan itu pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing.
Kerja menaikkan kereta kemudian dijalankan sejurus kenderaan berjaya dikesan.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan pada jam 1.38 pagi dengan melibatkan 20 anggota dari tiga balai bomba.
Operasi tersebut dibantu oleh dua bot fiber dan beberapa jentera sokongan. – Bernama