Pelajar senior ambil tindakan sendiri soal kes curi di asrama – saksi

KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini hari ini diberitahu bahawa terdapat sekumpulan pelajar senior akan bertindak sendiri berjumpa dan menyoal pelajar disyaki terbabit dalam kes curi sekira ia berlaku di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha Papar.

Peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili empat kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata perkara itu diberitahu seorang pelajar senior yang merupakan saksi kanak-kanak ke-11 di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Berkongsi keterangan saksi kanak-kanak itu Azhier Farhan berkata menurut saksi walaupun dia tidak pernah menyertai kumpulan pelajar itu biliknya sering digunakan oleh mereka kerana ia lebih luas berbanding bilik lain di asrama.

Menurut saksi sepanjang dia mengenali remaja itu dia mendapati Zara Qairina seorang yang baik dan suka menyapa orang dengan memberi salam selain suka berkongsi makanan.

Seingat saksi juga Zara Qairina pernah dipanggil oleh pelajar senior kerana masalah berkaitan kawan menurut saksi Zara Qairina suka berkawan dengan seorang pelajar senior.

Azhier Farhan berkata demikian kepada pemberita selepas hari ke-21 prosiding inkues hari ini.

Peguam itu berkata saksi turut memberitahu bahawa dia sendiri pernah berjumpa Zara Qairina sebanyak dua hingga tiga kali di bilik remaja itu dan meminta maaf bagi pihak pelajar senior dan memujuknya supaya tidak buat macam-macam.

Sementara itu peguam Rizwandean M Borhan yang mewakili ibu Zara Qairina ketika berkongsi keterangan saksi yang sama berkata saksi memberitahu bukan hanya Zara Qairina saksi turut berjumpa pelajar junior lain untuk meminta maaf bagi pihak pelajar senior selepas mereka dipanggil kumpulan pelajar tersebut.

Rizwandean berkata saksi memberitahu dia memujuk Zara Qairina selepas dipanggil kumpulan pelajar senior kerana saksi juga pernah mengalami serta berada dalam situasi sama dialami remaja itu.

Menurut saksi ketika dia menjadi pelajar junior wujud juga kumpulan pelajar senior yang biasa memanggil serta berjumpa pelajar junior.

Menceritakan kejadian pada malam 15 Julai Rizwandean berkata saksi memaklumkan dia mendapat tahu daripada pelajar lain bahawa Zara Qairina dipanggil kumpulan pelajar senior atas tuduhan mencuri sekitar pukul 10 hingga 11 malam.

Menurut saksi dia turut diberitahu ada pelajar junior lain menyelongkar locker Zara Qairina untuk mencari barang yang hilang itu.

Saksi berkata dia pergi ke hadapan bilik di mana Zara Qairina disoal pelajar senior kerana ingin meminjam kasut.

Kata saksi seingat dia ketika itu pukul 11 malam lebih kerana lampu bilik sudah ditutup.

Kata saksi semasa dia melalui koridor di hadapan bilik Zara Qairina saksi melihat seorang pelajar junior mengeluarkan kata-kata kesat.

Menurut saksi lagi dia mendengar nada pelajar junior dengan kuat jelas dan dalam keadaan marah.

Saksi juga berkata dia ada dengar daripada pelajar lain bahawa pada malam itu Zara Qairina ada berkurung di tandas tetapi saksi tidak tahu jam berapa itu berlaku.

Berkongsi lanjut keterangan saksi itu peguam Joan Goh yang mewakili seorang daripada remaja terbabit dalam kes buli Zara Qairina berkata menurut saksi tiada insiden pukul berlaku ke atas Zara Qairina.

Zara Qairina 13 disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth Kota Kinabalu pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *