Kadar residivis penjara Sarawak terendah di Malaysia 12.7 peratus

KUCHING: Penjara Sarawak mencatatkan kadar residivis atau kemasukan banduan berulang terendah di Malaysia iaitu sebanyak 12.7 peratus.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata statistik 2023 itu membuktikan keberkesanan program pemulihan yang dilaksanakan.

Beliau menyatakan kadar kesesakan penjara juga hanya mencatatkan 13.2 peratus iaitu lebih baik berbanding kadar standard antarabangsa 20 peratus.

“Ini berdasarkan pencapaian empat indikator petunjuk prestasi utama iaitu kadar kesesakan, kadar reman, kadar residivis dan pemenjaraan yang menepati piawaian antarabangsa,” katanya semasa berucap pada majlis perasmian Kompleks Songket Sri Kenyalang Penjara Puncak Borneo.

Kadar residivis dalam kalangan peserta program pemulihan komuniti di penjara itu juga hanya mencatatkan 0.24 peratus.

Angka ini jauh lebih rendah berbanding kadar umum 18.6 peratus.

Saifuddin Nasution berkata kerjasama erat antara Jabatan Penjara Sarawak dengan agensi berkaitan memperkukuh pendekatan pemulihan yang inklusif.

Beliau menekankan inisiatif di bawah program pemulihan komuniti perlu terus didukung semua pihak.

“Kejayaan program itu membuktikan pendekatan baharu dalam sistem pemulihan dan pengurusan penjara moden kini semakin berkesan,” katanya.

Latihan kemahiran dan pembangunan diri memainkan peranan penting dalam membantu proses pemulihan banduan.

Konsep penjara moden bukan hanya berfungsi sebagai tempat hukuman tetapi juga pusat pemulihan.

Penubuhan kompleks songket merupakan platform membina masa depan lebih baik melalui pemuliharaan warisan.

Inisiatif ini melibatkan inovasi rekaan serta pemerkasaan insan dan bukan sekadar proses pembetulan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *