Sindiket seludup migran ditumpas, 18 individu termasuk warga tempatan ditahan

KUALA LUMPUR: Pasukan Gerakan Am Briged Tengah berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan migran dengan menahan 18 individu baru-baru ini melalui siri serbuan di sekitar Selangor dan Melaka.

Komander Briged Tengah PGA SAC Hakemal Hawari berkata serbuan pada 10 dan 11 Oktober itu digerakkan hasil risikan dan operasi khas susulan insiden rempuhan sekatan jalan raya di Pulau Carey pada 28 Julai lepas.

“Berikutan kejadian itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengumpul maklumat dan menjalankan risikan rapi,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hakemal berkata tangkapan pertama dilakukan pukul 3 pagi di Jalan Pulau Carey selepas anggota PGA menahan seorang lelaki warga asing yang memandu kereta Toyota Vios tanpa dokumen perjalanan sah.

“Tangkapan itu membawa kepada operasi susulan yang berjaya menahan beberapa lagi suspek termasuk di Plaza Tol Teluk Panglima Garang, Kampung Melayu Nagsyabandiah di Semenyih, Kuala Langat, Rawang serta di kawasan Rehat dan Rawat Kampung Bemban arah selatan,” katanya.

Beliau berkata keseluruhan operasi tersebut membawa kepada penahanan 18 individu berusia lingkungan 30-an yang terdiri daripada 17 warga Indonesia dan seorang warga tempatan.

“Lima daripada mereka dikenal pasti sebagai tekong, ejen dan transporter manakala selebihnya ialah migran yang cuba diseludup masuk,” katanya.

“Sindiket itu dipercayai beroperasi secara berkumpulan dan menerima upah antara 1,500 hingga 2,500 ringgit bagi setiap pendatang yang dibawa masuk atau keluar dari negara ini menggunakan laluan tidak sah di sepanjang pantai Selangor.”

“Sindiket tersebut bergerak secara dinamik dengan menukar lokasi pendaratan dari semasa ke semasa bagi mengelak dikesan pihak berkuasa,” katanya.

Hakemal berkata antara kawasan pantai yang kerap terlibat ialah Pulau Carey, Morib dan Kelanang.

Beliau berkata kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 bagi lima individu utama manakala 13 lagi disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua suspek kini direman selama 28 hari di bawah Atipsom dan 12 hari di bawah Akta Imigresen bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

Beliau turut menyeru orang ramai khususnya penduduk di sekitar kawasan pesisir pantai di Selangor supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan migran kepada pihak polis. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *