PUTRAJAYA: Semua pengarah pendidikan negeri, pegawai Pejabat Pendidikan Daerah dan pentadbir sekolah diarah memperketat pemantauan keselamatan di institusi masing-masing termasuk melalui pelaksanaan lawatan mengejut.
Ketua Pengarah Pendidikan Dr Mohd Azam Ahmad berkata langkah itu penting supaya aspek keselamatan dapat dikenal pasti dan ditambah baik dengan segera demi kesejahteraan murid, guru dan seluruh warga sekolah.
Beliau menyatakan telah mengarahkan pengarah pendidikan negeri, pegawai PPD dan pengajar di bahagian yang mempunyai institusi untuk mengadakan lawatan mengejut.
“Dengan lawatan mengejut ini kita dapat memastikan perkara-perkara yang perlu kita ambil tindakan segera untuk kita membuat penambahbaikan,” katanya pada sidang media khas di sini hari ini.
Mohd Azam turut menegaskan keperluan untuk melindungi masa instruksional di sekolah dengan memastikan guru sentiasa berada di sisi murid semasa waktu pengajaran dan pembelajaran.
Beliau juga menekankan pentingnya mengawal urusan rasmi di luar sekolah agar tidak menjejaskan keselamatan serta pemantauan terhadap murid.
“Saya percaya apa pun usaha yang kita nak laksanakan, guru mesti di samping murid,” katanya.
Ketua Pengarah Pendidikan berkata Kementerian Pendidikan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuai atau mengabaikan tanggungjawab dalam memastikan keselamatan murid di sekolah.
“Saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas jika berlaku kecuaian ataupun pengabaian mana-mana prosedur dalam memastikan institusi pendidikan ini berada dalam keadaan selamat untuk semua warga sekolah, khususnya anak-anak murid,” katanya.
Mohd Azam berkata pemantauan keselamatan turut diperkukuh melalui pelaksanaan audit keselamatan yang sedang dijalankan oleh Jemaah Nazir di lebih 1,000 sekolah, termasuk asrama di seluruh negara. – Bernama