UM juara debat antirasuah IPT Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025

BANGI: Universiti Malaya dinobatkan sebagai juara Pertandingan Debat Antirasuah Institusi Pengajian Tinggi Piala Ketua Pesuruhjaya SPRM 2025 yang berlangsung selama tiga hari bermula 10 Oktober.

Pasukan UM yang diwakili Azhad Hafiz Md Razip Han, Muhammad Ammar Akrimi Azman, Khairul Nur Ayuni Rodzan Khairull dan Nur Amirah Syahirah Khairul Shakir muncul juara selepas menewaskan pasukan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia di pentas akhir.

Pasukan UPNM yang muncul naib johan itu diwakili Abdul Azim Azmi, Mohamad Marzuhaime Marzuki, Muhammad Idham Hafizie Zainuddin dan Sanjeevkumar Mahendran.

Sebagai juara, UM membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM14,000, trofi serta sijil penyertaan.

Pasukan UPNM menerima RM8,000, trofi dan sijil sebagai naib johan.

Kekalahan UPNM sedikit terubat apabila pendebat mereka Muhammad Idham Hafizie muncul Pendebat Terbaik Akhir.

Muhammad Idham Hafizie turut membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 sebagai Pendebat Terbaik Akhir.

Pertandingan yang bertemakan “Idealis Berintegriti, Pemacu Negara Madani” itu merupakan kesinambungan usaha SPRM dalam memperkukuh pendidikan pencegahan rasuah.

Inisiatif ini menggunakan pendekatan lebih segar dan inklusif kepada generasi muda khususnya mahasiswa IPT.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata tema tahun ini menggambarkan aspirasi SPRM untuk melahirkan generasi muda berpegang teguh kepada nilai integriti.

Beliau menyatakan generasi muda berintegriti akan menjadi pemacu kepada pembentukan masyarakat MADANI bebas rasuah.

“Melalui penganjuran ini, SPRM mahu memperkukuh pendekatan pendidikan antirasuah dengan membina minda kritikal serta menanam nilai integriti dalam kalangan mahasiswa,” katanya.

Azam Baki menekankan mahasiswa perlu menjadi ejen perubahan pada masa hadapan melalui program seumpama ini.

Sebanyak 40 pasukan menyertai pertandingan kali ini daripada pelbagai institusi pengajian tinggi.

Peserta terdiri daripada wakil universiti awam dan swasta, Institut Pendidikan Guru, Institusi Pendidikan MARA serta politeknik dari seluruh negara.

Pertandingan tahunan anjuran SPRM itu turut mendapat kerjasama Majlis Debat Universiti Malaysia, Dewan Bahasa dan Pustaka serta Universiti Kebangsaan Malaysia. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *