KUALA LUMPUR: Isu penyalahgunaan dadah yang menyebabkan peningkatan jenayah seperti rompakan dan ugutan antara perkara yang akan dibincangkan dalam persidangan Dewan Rakyat hari ini.
Datuk Jonathan Yasin (gambar) dari GRS-Ranau membangkitkan persoalan ini kepada Menteri Dalam Negeri semasa sesi soal jawab lisan.
Beliau ingin mengetahui tindakan kementerian untuk menangani masalah penyalahgunaan dan pengedaran dadah di negara ini.
Khairil Nizam Khirudin dari PN-Jerantut pula meminta Menteri Pengangkutan menyatakan punca kegagalan penyelenggaraan Aerotrain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.
Beliau juga bertanya mengenai tindakan segera kerajaan bagi memastikan pengangkutan penumpang itu kembali lancar dan selamat.
Wong Chen dari PH-Subang mengemukakan soalan kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mengenai rancangan meningkatkan bilangan rumah perlindungan di kawasan luar bandar.
Soalannya juga meliputi rancangan membaik pulih rumah perlindungan sedia ada supaya memenuhi standard keselamatan dan sokongan psikososial.
Mohd Nazri Abu Hassan dari PN-Merbok meminta Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan menyatakan langkah membantu golongan muda memiliki rumah pertama yang mampu milik dalam bandar.
Beliau turut menekankan keperluan meningkatkan peranan sektor swasta memandangkan kos sara hidup semakin meningkat.
Persidangan diteruskan dengan hari pertama perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2026 selepas sesi soal jawab lisan.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan telah membentangkan belanjawan pada Jumaat lepas.
Menurut takwim Dewan Rakyat, sesi perbahasan peringkat dasar diadakan lapan hari sehingga 28 Oktober.
Perbahasan peringkat jawatankuasa pula berlangsung selama 14 hari bermula 5 November hingga 27 November.
Belanjawan 2026 memperuntukkan sejumlah RM419.2 bilion untuk perbelanjaan negara.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM338.2 bilion diperuntukkan bagi perbelanjaan mengurus manakala baki RM81 bilion sebagai perbelanjaan pembangunan.
Belanjawan yang mengangkat tema ‘Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat’ ini merupakan edisi keempat dalam siri Belanjawan MADANI.
Ia juga merupakan belanjawan pertama di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 2026-2030.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 akan berlangsung selama 35 hari sehingga 4 Disember ini. – Bernama