JAKARTA: Presiden Indonesia Prabowo Subianto menerima jemputan untuk menghadiri Sidang Kemuncak Gaza di Sharm el-Sheikh, Mesir pada Isnin.
Setiausaha Negara Prasetyo Hadi menyatakan jemputan itu diterima secara mengejut namun Prabowo memutuskan untuk hadir demi mengekalkan hubungan baik.
Beliau berkata kehadiran ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan Indonesia untuk mempromosikan keamanan di Timur Tengah.
“Presiden berkata ini mungkin kesinambungan rundingan yang Insya-Allah, dapat membawa keamanan kepada Palestin, khususnya di Gaza,” katanya dalam kenyataan selepas mesyuarat di kediaman peribadi Prabowo.
Prasetyo menekankan bahawa Jakarta bersedia memainkan peranan lebih besar sekiranya terdapat kemajuan dalam rundingan.
Beliau menyebut kemungkinan menghantar 20,000 anggota pasukan pengaman seperti cadangan Prabowo dalam ucapannya di Perhimpunan Agung PBB bulan lalu.
Naib Panglima Angkatan Tentera Indonesia Jeneral Tandyo Budi Revita turut menghadiri mesyuarat pada Ahad.
Jeneral Tandyo diarahkan untuk memulakan persiapan awal sekiranya keperluan penghantaran pasukan pengaman timbul.
Media antarabangsa melaporkan Sidang Keamanan Sharm el-Sheikh diadakan sebagai susulan kepada fasa pertama Pelan Keamanan Gaza.
Sidang ini bertujuan menamatkan perang di Gaza, Palestin melalui perbincangan damai.
Sidang kemuncak akan dipengerusikan bersama oleh Presiden Mesir Abdel Fattah el-Sisi dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.
Lebih 20 pemimpin dunia dijangka hadir dalam sidang kemuncak keamanan penting ini. – Bernama