Inisiatif pemulihan penjara Malaysia ubah banduan kepada prospek

KUALA LUMPUR: Jabatan Penjara Malaysia telah mengubah pendekatan daripada menghukum kepada memulihkan melalui pelbagai program transformasi.

Komisioner Jeneral Penjara Malaysia Datuk Abdul Aziz Abdul Razak berkata perubahan istilah daripada “banduan” kepada “prospek” merupakan anjakan besar dalam falsafah kepenjaraan negara.

“Kita mahu mereka dilihat bukan lagi sebagai pesalah, tetapi prospek, iaitu insan yang ada potensi untuk dibaiki dan disumbangkan semula kepada masyarakat,“ katanya.

Setiap pagi, prospek mengikuti jadual harian teratur di bawah Program Pembangunan Insan berasaskan tiga teras utama.

Program itu merangkumi empat fasa bermula daripada orientasi disiplin diri sehingga integrasi semula ke dalam masyarakat.

“Evolusi Jabatan Penjara bukan lagi tentang tempat seseorang dihukum, tetapi tempat seseorang dipulihkan,“ katanya.

Pihaknya turut melaksanakan Akaun Amanah Pemulihan dan Kebajikan Penghuni Penjara yang melatih prospek dalam enam sektor ekonomi utama.

Pendapatan daripada hasil kerja mereka digunakan semula untuk tujuan latihan, kebajikan dan pembangunan kendiri.

Kemahiran dan kerohanian diterapkan melalui 34 pusat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional di seluruh negara.

Sejak 2012 hingga 2024, lebih 19,000 prospek telah menerima pensijilan TVET dengan kerjasama JPK dan CIDB.

“Ramai yang masuk tanpa sebarang kemahiran, tetapi keluar dengan sijil dan keyakinan diri,“ katanya.

Program tahfiz penjara terus berkembang dengan 14 sekolah tahfiz di institusi penjara dan hampir 300 prospek mengikuti pengajian.

“Program tahfiz memberikan ketenangan jiwa, TVET memberikan kekuatan hidup,“ ujarnya.

Perubahan landskap pemulihan turut disokong Program Peluang Kedua Anda bernilai RM7.38 juta yang dilancarkan pada 2024.

Bagi 2025, kerajaan meluluskan lagi RM7 juta untuk memperluas latihan kepada 1,000 prospek di lapan pusat vokasional.

Kejayaan paling membanggakan ialah kadar pengulangan jenayah sangat rendah iaitu kurang 0.3% bagi peserta program TVET.

“Sebaliknya, bagi prospek yang tidak menyertai latihan kemahiran, kadar pengulangan boleh mencecah hingga 12%,“ katanya.

Cabaran sebaliknya berlaku selepas pemulihan apabila prospek kembali kepada masyarakat dan menghadapi stigma.

Langkah mengatasi termasuk program Pemulihan Dalam Komuniti dan kerjasama industri melalui Corporate Smart Internship.

Syarikat yang mengambil bekas banduan bekerja mendapat insentif pengecualian cukai hingga RM4,000 seorang.

“Prospek yang mampu membaca semula al-Quran atau menyarung pakaian kerja semuanya tanda kehidupan yang kembali tumbuh,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *