Peserta MyLesen diingatkan jangan jadikan lesen tiket jadi raja jalanan

SIBU: Peserta Program Bantuan Lesen Memandu (MyLesen) Kelas B2 diingatkan agar tidak menyalahgunakan lesen yang diterima sebagai ‘tiket’ untuk menjadi raja jalanan atau terlibat dalam aktiviti lumba haram.

Timbalan Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak, Nor Azlan Ibrahim berkata lesen memandu adalah amanah dan simbol kepercayaan, bukannya lesen bebas untuk menunggang motosikal sesuka hati atau melakukan ubah suai haram.

“Lesen ini bukan kampu hijau untuk berlumba, menunggang secara berbahaya atau mengubah suai motosikal secara haram atau tanpa cukai jalan,“ katanya pada Majlis Penutupan Program MyLesen Kelas B2 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Nangka 2025 di Dewan Universiti Teknologi Sarawak (UTS) di sini.

Beliau menegaskan JPJ tidak teragak-agak untuk membatalkan lesen MyLesen sekiranya penerimanya terbabit dalam lumba haram atau aktiviti rempit.

Nor Azlan mengingatkan keseronokan sementara boleh membawa padah, termasuk kecederaan, kehilangan nyawa dan tindakan undang-undang.

Seramai 1,114 peserta daripada golongan B40 DUN Nangka menyertai program itu yang disempurnakan Setiausaha Politik Premier Sarawak, Sayed Azmee Wan Junaidi mewakili ADUN Nangka, Datuk Dr Annuar Rapaee. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *