SEPANG: Sembilan aktivis Malaysia yang menyertai misi Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens to Gaza (FFC x TMTG) selamat tiba di tanah air petang ini.
Mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 4.01 petang menaiki pesawat Turkish Airlines TK60.
Kepulangan mereka disambut isteri Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Misi kemanusiaan FFC x TMTG itu melibatkan kira-kira 150 aktivis dari 25 negara yang menaiki sembilan kapal termasuk kapal Conscience dan Umm Saad.
Kapal-kapal tersebut dipintas tentera Zionis ketika berada kurang 120 batu nautika dari Gaza pada Rabu lepas sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod.
Lapan rakyat Malaysia berada di atas kapal Conscience manakala seorang lagi doktor perubatan Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.
Pada 8 Oktober, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya tindakan provokatif dan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh tentera zionis Israel.
“Tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia,“ katanya.
Wisma Putra telah menghubungi Turkiye dan Timbalan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Christopher Landau untuk menyegerakan pembebasan aktivis Malaysia.
Sembilan aktivis itu dibebaskan pada 10 Oktober dan dipindahkan keluar dari Israel menaiki penerbangan Turkish Airlines TK6921.
Mereka tiba di Istanbul, Turkiye pada pukul 2.30 petang waktu tempatan sebelum meneruskan penerbangan pulang ke Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar sebelum ini dilaporkan berkata Anwar telah menghubungi Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan berhubung usaha menyelamatkan aktivis Malaysia. – Bernama