KUALA LUMPUR: Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya dilihat sekadar alat komunikasi semata-mata.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari menegaskan keupayaan menguasainya turut mencerminkan kesetiaan seseorang kepada negara serta kefahaman terhadap nilai dan jati diri tempatan.
Beliau berkata penguasaan bahasa kebangsaan sentiasa menjadi keutamaan kerajaan kerana memainkan peranan penting menyatukan rakyat dan membentuk jati diri bangsa Malaysia.
“Atas sebab itu, beberapa hari lepas, ketika membentangkan Belanjawan 2026, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan komitmen beliau supaya penggunaan bahasa Melayu diperkukuhkan,“ katanya.
Amirudin menambah Anwar turut menegur kebiasaan sekolah-sekolah antarabangsa di Malaysia yang tidak menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar.
Beliau berkata ini sedikit sebanyak mengganggu Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67 (Akta 32) dan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan negara.
Beliau berucap pada Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2025 anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka di Pusat Konvensyen Majlis Perbandaran Ampang Jaya.
Majlis itu turut dihadiri Pengerusi Lembaga Pengelola DBP Datuk Dr Anwar Ridhwan.
Amirudin berkata penganjuran Bulan Bahasa Kebangsaan masih relevan dan wajar diteruskan sebagai wahana menyemai rasa cinta terhadap bahasa serta memperkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum.
Beliau turut berpendapat bahasa Melayu wajar diperkasa melalui sektor ekonomi dan industri kreatif seperti bidang muzik, filem, sastera dan animasi tempatan.
Ini bagi menjadikannya sebagai kuasa lembut yang memperkenalkan Malaysia di persada dunia.
Amirudin pada sidang media kemudiannya berkata kerajaan negeri sentiasa mematuhi Akta 32 dalam semua urusan rasmi bagi mendaulatkan bahasa kebangsaan.
Ini termasuk berhubung penamaan tempat, jalan dan papan tanda awam.
Sementara itu, Anwar Ridhwan dalam ucapan aluannya berkata bahasa Melayu perlu dijaga sebagai lambang maruah dan jati diri negara.
Beliau menegaskan ini meskipun dunia kini berdepan pengaruh pelbagai bahasa antarabangsa yang membuka pintu kepada diplomasi, sains dan perniagaan.
“Perlu ingat kekuatan sesuatu bangsa bergantung pada keupayaannya mempertahankan bahasanya sendiri tanpa menolak keperluan menguasai bahasa lain,“ katanya.
Beliau menambah pada masa sama kita perlu mampu berkomunikasi dengan dunia luar. – Bernama