KADA terima 18 projek naik taraf infrastruktur air bernilai RM400 juta

BACHOK: Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) menerima 18 projek naik taraf termasuk pembangunan infrastruktur air dalam sektor pertanian di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) dengan anggaran kos bernilai RM400 juta.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Luqman Ahmad berkata hal ini kerana isu terbabit sering dibangkitkan oleh petani atau pesawah apabila bekalan air tidak mencukupi sehingga menjejaskan kualiti dan produktiviti tanaman mereka.

“Kita tahu masalah paling besar yang dihadapi oleh petani adalah dari segi infrastruktur untuk mendapat kemudahan bekalan air dan input pertanian termasuk baja dan racun,“ katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan Program Penuaian Padi Kawasan Bachok di Kampung Keting.

Beliau menambah dalam RMK13 terdapat lima kitaran peruntukan dan setiap kitaran akan memastikan setiap tahun ada projek untuk meningkatkan infrastruktur air.

Luqman berkata satu daripada 18 projek yang diterima itu ialah projek membina Stesen Pam Kasa II yang baharu di Pasir Mas di bawah seliaan KADA bernilai RM28 juta.

“Lagi 17 projek kita akan perincikan dalam mesyuarat esok kerana isu air ini menjadi tumpuan utama kerajaan dalam membantu petani meningkatkan hasil pertanian negara,“ katanya.

Beliau menjelaskan projek akan dilaksanakan secara berperingkat dan tidak mungkin dapat dilakukan dalam tempoh setahun namun kaedah terbaik akan dipastikan untuk selesaikan masalah air.

Sementara itu, Mohd Faizul berkata bagi projek Pam Kasa II yang baharu itu dijangka memberikan manfaat kepada 2,700 petani yang mengusahakan tanaman padi seluas 10,000 hektar.

Projek tersebut dijangka siap pada awal 2028. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *