MAHAR tekankan fokus utama kekal pada pemulihan Gaza, misi flotila sebagai pemangkin

KUALA LUMPUR: Malaysian Humanitarian Aid and Relief (MAHAR) menegaskan bahawa semangat solidariti global terhadap perjuangan rakyat Palestin perlu diteruskan dengan memastikan tumpuan dunia tidak teralih daripada krisis kemanusiaan yang parah di Gaza.

Pengarah Komunikasinya Tengku Ain Tengku Abdullah berkata keberanian para aktivis dan sukarelawan yang menyertai misi Global Sumud Flotilla (GSF) wajar dihargai, namun semangat itu harus disalurkan kepada usaha yang lebih berterusan dan bermakna.

“Kita raikan semangat solidariti ini namun semangat yang sama perlu kita salurkan untuk memastikan fokus utama tidak tergelincir iaitu kepada Gaza dan krisis kemanusiaan yang mendalam di sana,“ katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata misi flotila yang mencabar sekatan ke atas Gaza menjadi simbol keazaman kemanusiaan dan peringatan tegas tentang kepungan berterusan yang menjadi punca utama penderitaan rakyat Palestin.

“Kisah aktivis yang ditahan dan mengalami kesulitan seharusnya tidak hanya menjadi berita sensasi, tetapi menjadi penggerak untuk kita bertindak,“ katanya.

Tengku Ain berkata MAHAR kekal berpegang kepada prinsip bahawa keberkesanan bukan bergantung pada skala bantuan, tetapi pada komitmen yang konsisten.

“Di MAHAR, kami berpegang kepada falsafah bahawa keberkesanan terletak pada komitmen yang berterusan, bukan hanya pada skala,“ jelasnya.

Beliau berkata bantuan berterusan yang disalurkan termasuk makanan, air bersih dan ubat-ubatan adalah penting untuk menjamin kelangsungan hidup di samping menyokong projek-projek pemulihan jangka panjang.

Tengku Ain turut menyeru rakyat Malaysia agar terus bersatu hati dalam memperjuangkan kebajikan rakyat Palestin di Gaza dan menggunakan semangat GSF sebagai pemangkin untuk tindakan kemanusiaan yang lebih besar.

“Kekalkan Gaza di landasan utama. Marilah kita buktikan bahawa Malaysia berdiri teguh di belakang rakyat Palestin di Gaza,“ katanya.

Beliau turut mengingatkan bahawa setiap sumbangan sekecil mana pun, membawa makna yang besar bagi kehidupan penduduk Gaza.

“Apa yang anda boleh lakukan sekarang, sumbangan berterusan: Ingat, setiap bantuan adalah langkah kehidupan,“ katanya.

Mengakhiri kenyataan, beliau menegaskan bahawa matlamat utama perjuangan kemanusiaan ini kekal – memastikan rakyat Palestin mencapai kebebasan dan kehidupan yang bermaruah.

“Gaza berhak mendapat kehidupan yang aman dan bermaruah. Dengan semangat perpaduan yang mendalam, kita akan terus berjuang untuk memastikan setiap sumbangan dan fokus kita menyumbang kepada kemanusiaan,“ tegasnya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *