KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya membongkar kegiatan pengangkutan haram atau prebet sapu menggunakan van dan kenderaan pelbagai guna mewah yang menjadikan pelancong asing sebagai sasaran dalam operasi khas di sekitar ibu kota.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Hamidi Adam (gambar) berkata sebanyak 10 kenderaan disita dalam operasi dari jam 10 pagi hingga 12 tengah malam di kawasan tumpuan pusat bandar raya termasuk sekitar Jalan Bukit Bintang, Jalan Imbi dan Jalan Sultan Ismail.
Lima daripada kenderaan itu dipandu warga asing dari Bangladesh, Yemen, India, dan Sudan manakala selebihnya warga tempatan.
Ketika ditahan, 35 penumpang dari pelbagai negara termasuk China, Kanada, Pakistan, Bangladesh, India, Palestin dan Iraq sedang menggunakan perkhidmatan itu untuk ke lapangan terbang atau destinasi pelancongan lain.
Ada antara mereka membayar pakej sehingga 2,100 ringgit untuk perjalanan dari Kuala Lumpur ke Melaka yang merangkumi penginapan dan pengangkutan diuruskan ejen pelancongan.
Antara taktik digunakan ialah menunggu di kawasan hotel, terutamanya pada waktu puncak mendaftar keluar iaitu sekitar 12 tengah hari untuk mencari penumpang dalam kalangan pelancong yang ingin ke destinasi seterusnya.
Hamidi mengingatkan syarikat pelancongan agar memastikan kenderaan membawa pelancong mematuhi peraturan termasuk memiliki Lesen Pengendali Kenderaan Perkhidmatan Awam (KPA), memandangkan sebahagian penumpang dalam operasi itu merupakan pelanggan syarikat berkenaan.
JPJ Kuala Lumpur tidak akan berkompromi terhadap pihak melanggar undang-undang jalan raya.
Pemantauan serta penguatkuasaan berterusan akan dilaksanakan bagi memastikan keselamatan pengguna dan memelihara integriti sistem pengangkutan negara.
Hamidi berkata 10 kenderaan itu disita atas pelbagai kesalahan iaitu salah guna Lesen Kenderaan Motor (LKM), beroperasi tanpa Lesen Pengendali KPA dan tiada lesen memandu.
Saman juga dikeluarkan kepada pemandu serta pemilik mengikut Seksyen 80 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 16(1) Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010. – Bernama