Sean Paul panaskan Idea Live Arena dengan konsert penuh nostalgia

PETALING JAYA: Ikon muzik dancehall antarabangsa Sean Paul berjaya memanaskan malam hujung minggu dengan persembahan penuh bertenaga di Idea Live Arena.

Kembalinya rapper dari Jamaica berusia 52 tahun itu ke Malaysia selepas tujuh tahun membuktikan muzik mampu menyatukan peminat pelbagai generasi.

Seramai 6,000 penonton membanjiri dewan konsert yang meliputi individu berusia dari 20-an hingga 60-an berbeza latar belakang.

Suasana sudah meriah sebelum Sean Paul muncul di pentas dengan deretan lagu reggae dan dancehall yang dimainkan.

Kebanyakan penonton tampil dengan pakaian berona gelap menambah suasana pesta malam hujung minggu yang meriah.

Sean Paul membuka tirai persembahan tepat pukul 8.48 malam dengan lagu hits ‘So Fine’ dan ‘Get Busy’.

Penyanyi itu tampil dengan seluar putih, kemeja-T hitam dan jaket putih sambil disambut rakaman kamera penonton.

“What’s up Malaysia? Make some noise! Hey yo, this is my first time performing for you,“ ujar Sean Paul yang penuh karisma.

Peminat disajikan lebih 20 lagu popular termasuk Temperature, No Lie, She Doesn’t Mind, Rockabye dan Cheap Thrills.

Tenaga persembahan Sean Paul tidak surut sepanjang tempoh sejam persembahannya.

Setiap lagu disampaikan dengan gaya tersendiri dan disertai pancaran cahaya pentas yang memukau.

Sorakan semakin kuat apabila lagu-lagu hit era 2000-an berkumandang mengimbau kenangan zaman kegemilangan dancehall.

Tempoh persembahan yang singkat nyata belum memadai bagi ramai peminat yang mengharapkan lebih banyak lagu.

Sean Paul sempat melemparkan dua helai kemeja-T putih miliknya ke arah penonton mencetuskan suasana riuh.

Persembahan malam itu meninggalkan impak tersendiri dengan sorakan, nyanyian bersama dan tarian tanpa henti.

Segelintir penonton berpendapat kualiti sistem bunyi dewan boleh dipertingkatkan bagi kapasiti besar masa depan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *