KAJANG: Acara RHB LEKAS Highway Ride 2025 edisi ke-10 mencatatkan penyertaan sebanyak 6,017 pelumba basikal dari 23 negara.
Perlumbaan ini melibatkan laluan di sepanjang Lebuhraya LEKAS E21 yang ditutup sepenuhnya kepada kenderaan.
Anjuran bersama oleh Kumpulan Perbankan RHB dan Lebuhraya Kajang Seremban Sdn Bhd, acara itu telah dilepaskan oleh Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia Datuk Sazali Harun di Plaza Tol Kajang Selatan.
Pengarah Urusan Kumpulan RHB Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata penganjuran kali ke-10 itu merupakan satu pencapaian penting bagi RHB.
“Dari tahun ke tahun, acara itu bukan lagi sekadar perlumbaan basikal semata-mata, tetapi juga usaha untuk merapatkan komuniti, memupuk gaya hidup sihat dan mencipta kenangan yang berkekalan,” katanya.
Beliau berharap dapat meneruskan kerjasama dengan Lebuhraya LEKAS bagi menghimpunkan komuniti berbasikal daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IJM Corporation Berhad Datuk Lee Chun Fai berkata acara berkenaan terus menjadi tradisi bermakna yang menyatukan pelumba.
“Meraikan RHB LEKAS Highway Ride edisi ke-10 menjadi detik membanggakan kepada kami di IJM,” ujarnya.
Beliau menekankan bahawa lebuh raya boleh menjadi ruang yang menyatukan orang ramai dan mendorong gaya hidup lebih sihat serta aktif.
Kejayaan acara itu juga mencerminkan kerjasama kukuh dengan RHB serta komitmen pasukan LEKAS dalam memastikan persekitaran yang selamat.
Institut Jantung Negara kembali sebagai rakan perubatan rasmi dengan Klinik Kesihatan Bergerak RHB-IJN ditempatkan di sepanjang laluan.
Klinik tersebut menyediakan saringan kesihatan, rawatan kecemasan dan bantuan kesihatan kepada peserta.
Sejak 2022, acara berkenaan menarik lebih 5,000 pelumba basikal setiap tahun dan kini menjadi antara acara kayuhan beramai-ramai terbesar di negara ini.
Pada 2024, acara itu mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records bagi kategori jarak terpanjang di lebuh raya tertutup dan penyertaan terbesar dalam acara berbasikal malam.
Pada tahun ini, laluan sejauh 44.3 kilometer meliputi jalan antara Kajang dan Paroi, Negeri Sembilan.
Pelbagai kategori disediakan termasuk Kayuhan Kompetitif 105 km, Kayuhan 78 km, Kayuhan Terbuka 17 km, serta Kayuhan Remaja 17 km dan 12 km. – Bernama