KUALA LUMPUR: Belanjawan MADANI Keempat yang dibentangkan semalam merupakan manifestasi nyata keberanian kerajaan dalam menterjemah agenda reformasi kepada tindakan dan hasil yang dapat dinikmati rakyat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata belanjawan itu menandakan permulaan lembaran baharu di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 dengan tumpuan kepada pengukuhan tatakelola.
Beliau menekankan fokus belanjawan termasuk pengurangan defisit fiskal dan peningkatan kebajikan rakyat.
“Setelah berani mengusung reformasi, inilah masanya memulangkan hasil kepada rakyat,” katanya dalam hantaran di platform X hari ini.
Anwar menambah Belanjawan MADANI Keempat membuka lembaran pertama di bawah RMK13 dengan memaknai erti reformasi yang kini diterjemah kepada tindakan dan hasil nyata.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata belanjawan bertemakan “Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat” menggabungkan disiplin dan nurani.
Perdana Menteri menjelaskan belanjawan ini merencana masa depan negara yang adil, makmur dan bermaruah.
Semalam, Anwar berkata belanjawan itu mengoptimumkan sumber negara termasuk dana syarikat pelaburan berkaitan kerajaan, badan berkanun Persekutuan dan syarikat Menteri Kewangan (Diperbadankan).
Belanjawan ini dilaksanakan melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion pada tahun sebelumnya. – Bernama