Penduduk Ladang Byram sambut Deepavali di rumah baharu Nibong Tebal

NIBONG TEBAL: Sambutan Deepavali tahun ini amat bermakna buat penduduk Ladang Byram di sini kerana mendapat kunci rumah gantian baharu yang lebih selesa daripada kerajaan Pulau Pinang.

Seorang penduduk S. Malliga, 61, berkata gembira kerana dia dan suami serta empat anak dapat menyambut Deepavali di rumah baharu di Taman Byram Baru selepas 40 tahun menetap di estet tersebut.

“Sudah pasti kami semua gembira dan seronok mahu beraya di rumah baharu,“ katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Wanita itu ditemui pada Majlis Perasmian Projek Penempatan Semula Penduduk Ladang Byram oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow yang turut dihadiri Ahli Parlimen Nibong Tebal Fadhlina Sidek.

Seorang lagi penerima A. Selvadorai, 48, berkata dia, isteri dan empat anak tidak sabar untuk merayakan Deepavali di rumah baharu selepas 20 tahun tinggal di rumah estet ladang.

F. Edward Raja, 47, berkata Deepavali tahun ini sudah pasti lebih meriah dengan persiapan sambutan di rumah baharu yang telah dijanjikan kerajaan negeri.

Chow berkata projek membabitkan kos RM18.4 juta itu merangkumi pembangunan 68 unit rumah teres serta sebuah bangunan sekolah dua tingkat dan kuil.

Beliau berkata kerajaan negeri memutuskan untuk menawarkan kediaman gantian kepada 72 keluarga dikenal pasti dengan 66 daripadanya ditempatkan di Taman Byram Baru.

Penduduk di situ dengan majoriti masyarakat India telah lama berdepan kesan pencemaran dari Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung yang menjejaskan kesihatan.

“Menyedari keperluan mendesak untuk penyelesaian jangka panjang, kerajaan negeri mengambil langkah proaktif memperuntukkan tanah seluas 3.52 hektar di Nibong Tebal,“ katanya.

Harga tawaran untuk rumah tengah ialah RM42,000 seunit manakala RM50,000 bagi unit lot penjuru dengan skim “Rent-to-Own” bayaran bulanan serendah RM200.

Kerajaan negeri turut menawarkan dua rumah kepada Persatuan Chapel untuk dijadikan rumah ibadat pada kadar nominal.

Bangunan sekolah baharu akan diserahkan kepada Lembaga Pengelola SJKT Ladang Byram untuk memastikan pendidikan berkualiti dalam persekitaran kondusif. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *