KUALA LUMPUR: Kerja-kerja penyelenggaraan dan penggantian lif di Projek Perumahan Rakyat (PPR) di sekitar ibu negara dijangka bermula selepas Belanjawan 2026 diluluskan.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata Perdana Menteri telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mempercepatkan pelaksanaan projek penambahbaikan lif yang sering mengalami kerosakan.
“Perdana Menteri minta supaya RM300 juta disediakan untuk segera melaksanakan kerja-kerja penambahbaikan,” katanya selepas Majlis Sumbangan Deepavali Peringkat Parlimen Lembah Pantai 2025.
Fahmi menjangkakan proses menukar lif akan mengambil masa sekitar enam hingga sembilan bulan selepas proses tender selesai.
Beliau berkata kerja-kerja dijangka dimulakan sebaik proses perolehan selesai dengan sasaran menggantikan lif rosak menjelang tahun depan.
Fahmi akan menghubungi Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) dan Jabatan Perumahan DBKL bagi memastikan kawasan paling kritikal dikenal pasti.
Perdana Menteri sebelum ini juga mengarahkan DBKL menambah baik lebih banyak gerai dan kedai di sekitar Kuala Lumpur.
“Perdana Menteri berkata memandangkan kita ada lebih 2,000 unit di seluruh Kuala Lumpur di bawah jagaan DBKL, maka itu perlu ditambah baik segera,” katanya.
RM200 juta dana DBKL akan digunakan untuk menambah baik gerai dan kedai di seluruh Kuala Lumpur.
Mengulas Belanjawan 2026, Fahmi berkata rata-rata rakyat memberikan maklum balas positif terhadap pendekatan kerajaan.
“Apa yang kerajaan telah lakukan pada hari ini hasil daripada penjimatan, aspek tatakelola, tadbir urus dan pengurusan yang lebih telus,” katanya.
Beliau berkata kerajaan berjaya mengurangkan ketirisan dan penyeludupan untuk mengembalikan penjimatan kepada rakyat.
Fahmi berkata penduduk yang ditemuinya menyatakan rasa gembira dengan belanjawan yang dibentangkan.
“Mereka lihat sekarang negara berada di hala tuju yang betul,” ujarnya.
Beliau juga meminta Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspres Malaysia meneliti kedudukan pekerja penghantaran yang tidak termasuk dalam kategori pekerja gig.
“Saya telah minta AMEC yang mewakili semua syarikat kurier dan pos untuk bertanya dengan semua ahli mereka,” katanya.
Perbincangan dengan Kementerian Kewangan dijangka diadakan pada awal minggu depan bagi menyelesaikan isu pekerja penghantaran.
Mengenai Majlis Sumbangan Deepavali, Fahmi berkata lebih 1,200 keluarga di kawasan Parlimen Lembah Pantai akan menerima baucar bernilai RM150.
Pengagihan bantuan Deepavali tersebut dilaksanakan secara berperingkat bermula minggu lepas. – Bernama