Kes influenza di Johor terkawal, tiada kluster baharu dilaporkan

JOHOR BAHRU: Kes jangkitan influenza di Johor masih terkawal dengan tiada kluster baharu direkodkan menurut Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon.

Beliau menyatakan keseluruhannya sembilan kluster telah direkodkan termasuk yang membabitkan sebuah kelas Program Pendidikan Khas Integrasi di Sekolah Kebangsaan Taman Permas Jaya 2.

“Setakat ini, keadaan jangkitan influenza masih terkawal di Johor,“ katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera dan Operasi Mega Selamat Paru-Paru.

Ling menasihatkan orang ramai khususnya pihak sekolah agar segera membawa murid dan warga sekolah ke fasiliti kesihatan sekiranya mengesan simptom jangkitan.

Beliau menekankan bahawa Jabatan Kesihatan Negeri Johor bersama Pejabat Kesihatan Daerah sentiasa aktif memantau keadaan semasa bagi memastikan penularan terkawal.

Ketika ditanya mengenai pemeriksaan kesihatan di pintu sempadan, Ling menjelaskan langkah itu merupakan antara prosedur operasi standard yang telah lama dilaksanakan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“KKM sentiasa membuat saringan termasuk mengambil suhu badan dengan tiada keperluan untuk mempertingkat kawalan setakat ini,“ katanya.

Pada Rabu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Johor Aznan Tamin mengesahkan penutupan kelas PPKI di SK Taman Permas Jaya 2 selama 10 hari bermula 8 Oktober.

Penutupan itu dilaksanakan susulan lima murid, seorang guru dan seorang Pembantu Pengurusan Murid disahkan positif influenza A.

Lima belas murid lain di kelas sama turut menunjukkan gejala jangkitan influenza menurut laporan terkini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *