MCMC perkukuh infrastruktur digital dan keterangkuman dalam Belanjawan 2026

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan memperkukuh kesalinghubungan komunikasi dan memperluas pembangunan infrastruktur digital negara menerusi Belanjawan 2026.

MCMC komited melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi memperkukuh ekosistem komunikasi dan multimedia negara.

Inisiatif tersebut memastikan rakyat menikmati manfaat teknologi secara inklusif dan seimbang di seluruh Malaysia.

Antara inisiatif di bawah Belanjawan 2026 ialah Sambungan Kabel Dasar Laut MADANI (SALAM) dengan peruntukan RM2 billion.

Projek ini melibatkan pembinaan kabel dasar laut sepanjang 3,190 kilometer dari Johor ke Sabah dan Sarawak.

Peluasan liputan jalur lebar pula dilaksanakan melalui projek Jalinan Digital Negara (JENDELA) 2 ke 2,700 lokasi baharu.

Peruntukan RM780 juta diperuntukkan khusus untuk lokasi di luar bandar dan pedalaman.

Sebanyak RM650 juta diperuntukkan untuk meningkatkan sambungan Internet di hospital awam dan klinik kesihatan.

MCMC menyediakan RM350 juta bagi memperkasakan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) melibatkan 1,099 pusat komuniti.

Pusat komuniti ini berfungsi sebagai hab latihan dan keusahawanan untuk membantu usahawan desa menjana pendapatan.

Sistem Amaran Awal (EWS) akan dibangunkan bagi memperkukuh kesiapsiagaan negara dengan peruntukan RM210 juta.

MCMC juga akan membangunkan Sovereign AI Cloud dengan pelaburan sebanyak RM2 billion.

Inisiatif ini bertujuan memperkukuh kedaulatan data negara yang selamat dan beretika.

Inisiatif AI turut merangkumi penubuhan AI Transformation Centre bersama-sama Universiti Multimedia.

Center of Excellence in Ethics for Emerging Technologies akan ditubuhkan sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan kecerdasan buatan.

MCMC menyokong pelaksanaan model dwirangkaian 5G bagi memastikan kedua-dua rangkaian mencapai liputan 80% menjelang 2026.

Model ini menyediakan perkhidmatan Internet lebih pantas dan mampu milik untuk rakyat serta perniagaan.

MCMC akan memperluas Kempen Internet Selamat bagi meningkatkan kesedaran keselamatan siber.

Kempen ini menyasarkan seluruh lapisan masyarakat untuk penggunaan Internet beretika.

Secara keseluruhan, inisiatif di bawah Belanjawan 2026 mencerminkan komitmen MCMC untuk memperkukuh kesalinghubungan.

MCMC berhasrat meningkatkan kecekapan perkhidmatan komunikasi dan memastikan rakyat menikmati manfaat pembangunan secara saksama. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *