KUALA LUMPUR: Pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai sukan orang pekak dalam Belanjawan 2026 memberikan sinar baharu kepada komuniti tersebut.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf) Ong Shin Ruenn menyatakan mereka amat gembira dengan pengumuman berkenaan.
Beliau memaklumkan banyak ibu bapa dan jurulatih atlet pekak telah menghubunginya untuk berkongsi keterujaan tersebut.
“Kita amat terkejut kerana Perdana Menteri menyebut sukan orang pekak dalam pengumuman Belanjawan 2026.”
“Ibu bapa yang ada anak orang pekak gembira dan ini memberi harapan besar buat mereka dalam sukan malah menunjukkan layanan sama rata seperti sukan lain,” katanya.
Shin Ruenn berkata peruntukan yang bakal diterima akan digunakan untuk membantu para atlet menyiapkan diri menyertai beberapa kejohanan besar tahun depan.
Semalam, Anwar mengumumkan pembangunan sukan negara terus diperhebat dengan peruntukan lebih besar berjumlah lebih RM580 juta.
Peruntukan tersebut meliputi pemerkasaan atlet para dan sukan orang pekak. – Bernama