Belanjawan 2026 berpaksikan rakyat dengan peruntukan RM220 juta untuk komuniti India

PETALING JAYA: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai belanjawan berpaksikan rakyat yang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan inklusif dan menyeluruh.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan berkata perkara itu turut melibatkan pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi khususnya untuk komuniti India.

Beliau menekankan bahawa penilaian tidak boleh dibuat dari segi angka bajet semata-mata kerana peruntukan besar untuk Kementerian Pendidikan turut merangkumi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina.

“Selain itu, sebanyak RM90 juta turut disediakan bagi penambahbaikan kampung baru Cina dan kampung India,” katanya selepas merasmikan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan sempena Deepavali 2025.

Ramanan yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh menegaskan kerajaan MADANI tidak meminggirkan mana-mana kaum atau warga.

KUSKOP memperuntukkan hampir RM500 juta pada tahun ini untuk melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang menumpukan kepada pengukuhan ekonomi masyarakat India.

Program-program tersebut termasuk program AIM bernilai RM100 juta, program Brief-i di bawah Bank Rakyat bernilai RM100 juta dan Program Dana Khas Pemerkasaan Wanita India bernilai RM100 juta.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 mengumumkan masyarakat India turut mendapat manfaat daripada program sosioekonomi di bawah MITRA, TEKUN Nasional serta AIM berjumlah RM220 juta.

Ramanan turut menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Perdana Menteri membantu rakyat menjelang Deepavali.

Bantuan tersebut termasuk pemberian Sumbangan Tunai Rahmah berjumlah RM2 bilion mulai 18 Okt serta diskaun tol 50% selama dua hari bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampung.

Mengenai pembangunan di Sungai Buloh, beliau berkata kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir fasa kedua Sungai Buloh dengan peruntukan RM700 juta.

“Projek ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk kerana Sungai Buloh sering dilanda banjir kilat yang menjejaskan hampir 2,000 mangsa sebelum ini,” katanya.

Beliau turut memaklumkan bahawa dua sekolah baharu akan dibina di kawasan itu seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026.

Sekolah tersebut akan dibina di Eco Grandeur serta sebuah sekolah pendidikan khas di Kota Damansara.

Program JMKU anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia diadakan serentak di Paya Jaras dengan penyertaan pelbagai koperasi.

Koperasi-koperasi tersebut menawarkan barangan keperluan asas dengan potongan harga sehingga 50%.

Antara koperasi terlibat ialah Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad, Koperasi Pengguna Rezza Selangor Berhad dan Koperasi Keluarga Ibu Azmi Selangor Berhad.

Pada majlis sama, Ramanan turut menyerahkan sumbangan bakul makanan daripada SKM kepada 50 penerima komuniti Kota Damansara yang bakal menyambut Deepavali pada 20 Okt ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *