KUALA LUMPUR: Pendekatan berkesan kerajaan dalam pengurusan kewangan negara membolehkan hasil sebanyak RM31 bilion dijana tanpa perlu memperkenal atau menaikkan kadar cukai sedia ada.
Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata jumlah itu memberi gambaran positif kepada usaha kerajaan menerusi tiga tonggak utama Ekonomi MADANI.
Beliau menjelaskan RM15.5 bilion diperoleh daripada tatakelola mengurangkan ketirisan dan melaksanakan perolehan mengikut prosedur.
Sebanyak RM15.5 bilion lagi diperoleh apabila disasarkan subsidi kepada kumpulan yang tepat sama ada elektrik, RON95 atau diesel.
“Ini pengurusan kewangan menarik dan kreatif, RM31 bilion yang sebelum ini tidak ada, dapat diperoleh tanpa kerajaan perlu menaikkan atau tambah cukai baru,“ katanya ketika ditemui di Wisma Bernama.
Ahmad berkata ia memberi ruang kepada kerajaan memperuntukkan lebih banyak perbelanjaan kepada kebajikan rakyat terutamanya dalam sektor penting.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2026 memaklumkan tatakelola baik Kerajaan MADANI termasuk melibatkan aktiviti penguatkuasaan serta rampasan dan penalti.
Sebanyak RM15.5 bilion wang yang disakau dan dirompak dapat dikembalikan dalam tempoh dua tahun.
Langkah penyasaran subsidi pula berjaya menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion ringgit setahun.
Ini membolehkan kerajaan menyalurkan dana lebih tinggi dalam skop kebajikan, kos sara hidup serta pelaburan prasarana untuk rakyat. – Bernama