IPOH: Kerajaan akan terus memberi sokongan padu terhadap pembangunan sukan negara bagi memastikan bidang itu bergerak seiring dengan kemajuan ekonomi, intelektual dan budaya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau bersama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh akan terus berusaha memenuhi keperluan sektor sukan.
Beliau juga menghargai semua pihak yang menyumbang kepada kejayaan Malaysia dalam arena sukan.
“Saya tentu bersama Hannah Yeoh akan perhati dan cuba bantu apa yang mampu, sekecil-kecilnya hingga sebesar-besarnya,“ katanya.
Anwar menegaskan negara ini mahu maju dari segi ekonomi, budaya dan intelek tetapi tidak boleh ketinggalan dari segi sukan.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 di Bulatan Sultan Azlan Shah di sini.
Turut hadir dalam majlis tersebut Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.
Hadir sama Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Buat julung kalinya, program yang memasuki tahun ke-10 itu diadakan di luar Lembah Klang.
Hari Sukan Negara Peringkat Kebangsaan 2025 disambut serentak di seluruh negara hari ini. – Bernama