KUANTAN: Pasangan suami isteri pengusaha kedai makan dari Terengganu maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan di KM162.9 Lebuhraya Pantai Timur arah timur dekat Maran semalam.
Ketua Polis Daerah Maran Supt Wong Kim Wai berkata Aziz Awang, 68, yang memandu pacuan empat roda dan isterinya Hasnah Mat Nong, 64, meninggal dunia di lokasi kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu.
Beliau berkata siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa bersama pekerja mereka dalam perjalanan dari Cameron Highlands menuju ke Kemaman.
“Ketika tiba di tempat kejadian dan cuaca hujan, kenderaan berkenaan dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik ke sebelah kiri jalan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata akibat kemalangan itu tiga pekerja wanita kedai makan berusia 27, 45 dan 65 tahun turut cedera.
Turut cedera seorang kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang merupakan anak kepada seorang pekerja terbabit.
Wong berkata mayat suami isteri itu dibawa ke Hospital Jengka untuk bedah siasat manakala empat yang cedera menerima rawatan di Hospital Temerloh.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Bernama