Penyasaran subsidi jimat dana negara RM15.5 bilion setahun – PM Anwar

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan keseluruhan penyasaran subsidi yang dilaksanakan kerajaan menjimatkan dana negara sekitar RM15.5 bilion setahun.

Beliau menegaskan setiap penjimatan bermakna lebih banyak dana akan disalurkan untuk kebajikan, peruntukan kos sara hidup serta pelaburan prasarana rakyat yang berkualiti.

Semua pimpinan kerajaan sebelum ini mengakui keperluan melaksanakan penyasaran subsidi namun ia tertangguh kerana tiada tekad politik yang jitu.

“Memaknai subsidi ialah keistimewaan rakyat Malaysia dan bukan untuk warga asing, bukan syarikat besar,” katanya ketika pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat.

Kerajaan menyasarkan subsidi supaya dana awam sampai kepada rakyat melalui Belanjawan MADANI Keempat bertemakan Belanjawan Rakyat.

Antara langkah dilaksanakan ialah pengapungan harga telur dan ayam dengan masing-masing penjimatan RM1 bilion.

Langkah ini memastikan harga ayam terkawal di samping penyasaran subsidi dan penstrukturan tarif elektrik dengan purata penjimatan RM6 bilion.

Malahan 85 peratus pengguna tidak dikenakan kenaikan tarif elektrik dan ada yang menikmati penurunan bil.

Penyasaran subsidi diesel melibatkan penjimatan RM5 bilion dengan sektor pengangkutan awam, nelayan dan logistik tertentu terus menerima harga diesel bersubsidi.

Bantuan RM200 sebulan turut diberikan kepada pemilik individu, petani dan pekebun kecil.

Penyasaran subsidi RON95 berpotensi menjimatkan sekurang-kurangnya RM2.5 bilion.

Rakyat dapat menikmati harga minyak lebih rendah RM1.99 seliter menerusi pelaksanaan program BUDI MADANI RON95.

Urusan BUDI95 berjalan lancar dengan lebih 10 juta rakyat menikmati RON95 pada harga istimewa.

Pangkalan data 16.5 juta warganegara yang layak sedang dikemas kini untuk menyediakan kuota tambahan kepada 23,000 pemilik perahu berdaftar dan lebih 52,000 pemandu e-hailing aktif.

Kerajaan bersusah payah melaksanakan penyasaran subsidi kerana subsidi pukal selama ini tiris kepada warga asing dan syarikat besar.

Subsidi sepatutnya hak dan keistimewaan yang mesti dinikmati rakyat Malaysia.

Disebabkan penjimatan subsidi diesel, kerajaan juga dapat meringankan hidup rakyat melalui ikhtiar seperti Sumbangan Asas Rahmah Untuk Semua yang dilancarkan pada Ogos lepas. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *