SEREMBAN: Polis menahan seorang pengawal keselamatan wanita dan teman lelakinya selepas disyaki mencabul murid perempuan tahun tiga di tandas sebuah sekolah di Rembau.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata polis menerima laporan daripada ibu mangsa mendakwa anaknya berusia sembilan tahun dirogol ketika ke tandas sekolah.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar Seremban untuk pemeriksaan lanjut tetapi siasatan mendapati tiada unsur rogol berlaku.
Mangsa sebenarnya dicabul semasa berada di tandas sekolah itu pada Selasa lepas.
Susulan itu seorang wanita berusia 22 tahun yang merupakan pengawal keselamatan sekolah dan teman lelakinya berusia 25 tahun ditahan untuk membantu siasatan.
Dua suspek itu direman sehingga 14 Oktober bagi membantu siasatan kes ini.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017. – Bernama