PENDANG: Usahawan di bawah bimbingan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) berjaya mencatat nilai jualan keseluruhan berjumlah RM160 juta bagi tempoh 1 Januari hingga 30 September lepas.
Pengerusi MADA Datuk Dr Ismail Salleh berkata nilai jualan itu diperoleh menerusi pelbagai program di bawah pelaksanaan MADA seperti Program Agropreneur Muda, Program Agropelancongan, Pembangunan Produk dan Penjenamaan (2P), Program Modal Insan serta Pusat Pemprosesan, Pembungkusan dan Pemasaran (3P).
Beliau menyatakan MADA terus komited melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan yang berfokus kepada peningkatan kapasiti, kemahiran dan daya saing usahawan di bawahnya.
Pelbagai inisiatif dilaksanakan melalui peruntukan oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) seperti geran pembangunan usahawan, kursus latihan generik dan teknikal, bimbingan perniagaan, akses pasaran serta kemudahan pembiayaan.
Usaha berterusan yang dilaksanakan oleh MADA itu telah memberi manfaat kepada lebih 2,419 orang usahawan dalam pelbagai sektor.
Kejayaan MADA dalam membimbing usahawan-usahawannya telah dibuktikan di dalam Majlis Anugerah Top 20 Pusat Agropelancongan di bawah KPKM 2025 yang berlangsung semalam.
Seramai tiga usahawan Agropelancongan MADA terdiri daripada Pengusaha Tamteh Multicentre, Anjung Kuala dan Nipah Klasik berjaya melonjakkan hasil jualan tahunan sehingga melepasi RM1 juta.
MADA juga telah menganjurkan Karnival Rancak Hub Industri Makanan MADA yang berlangsung selama tiga hari sehingga Sabtu ini sebagai usaha memperkasakan usahawan di Kawasan Muda.
Sebanyak 20 geran bagi Program Agropreneur Muda Fasa 3/2025 dan dua usahawan bagi Anugerah Usahawan Produk Berimpak Kategori PKS 1/2 Tahun 2025 telah disampaikan pada majlis itu.
Penyampaian geran ini telah membuktikan KPKM melalui MADA sentiasa menggalakkan lebih ramai usahawan dilahirkan.
MADA juga yakin pelaksanaan program pembangunan usahawan itu akan terus menjadi pemacu utama dalam meningkatkan pendapatan golongan sasar, memperkukuh keterjaminan makanan dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.
Muhammad Danial Haikal Husmizar, 21, dari Arau, Perlis yang menerima Geran Agropreneur Muda berjumlah RM30,000 untuk projek ternakan kambing yang diusahakan sejak 2021 berkata dia tidak menyangka akan menerima geran berkenaan.
Beliau memohon geran ini melalui dalam talian dengan proses yang lebih cepat jika semua dokumen yang diperlukan disertakan dengan lengkap.
Geran ini akan membantu beliau dalam pelbagai aspek termasuk jualan dan tambah baik kandang dengan MADA memang banyak membantu perniagaan beliau. – Bernama