KUALA LUMPUR: Bagi mengatasi masalah kesesakan lalu lintas, Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) menyediakan 82 bas khas untuk membawa peminat menyaksikan perlumbaan Kejuaraan Motosikal Dunia Grand Prix (MotoGP) Malaysia di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) dari 24 hingga 26 Okt ini.
Rapid Bus menerusi kenyataan memaklumkan perkhidmatan bas khas itu akan beroperasi dari tiga lokasi utama-Hab Bas Pasar Seni, Hentian Bas KLCC dan Hab Bas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 bagi memudahkan pengunjung menuju ke SIC.
“Hab Bas Pasar Seni akan menyediakan sambungan perkhidmatan ke Laluan Kelana Jaya dan Laluan Kajang, manakala Hentian Bas KLCC disambungkan ke Laluan Kelana Jaya. Hab Bas KLIA2 pula disediakan khusus untuk sambungan ke ERL Express,” menurut kenyataan itu.
Tiket boleh dibeli secara dalam talian melalui laman sesawang shop.myrapid.com.my bermula esok atau dibeli secara terus di lokasi terpilih.
Tambang bagi destinasi KLCC atau Pasar Seni ditetapkan pada kadar RM20 sehala dan RM35 pergi-balik, manakala RM12 sehala bagi KLIA 2.
“Bagi melancarkan pergerakan para pengunjung di lokasi acara, Rapid KL turut menyediakan perkhidmatan bas perantara percuma di sekitar SIC sepanjang tempoh acara berlangsung,” katanya – Bernama