SARA lonjak ekonomi tempatan, bantu pengusaha dan peruncit tingkat jualan

KOTA KINABALU: Program Sumbangan Asas Rahmah (SARA) bukan sahaja meringankan beban rakyat untuk membeli barang keperluan asas, malah turut memberi impak berganda kepada pemain industri tempatan termasuk pasar raya, peruncit, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Eksekutif Pasar Raya Everwin Papar, Changes Wong berkata pelaksanaan SARA membuka peluang kepada pasar raya meningkatkan hasil jualan, khususnya bagi barang keperluan asas yang menjadi pilihan utama penerima bantuan.

“Sejak pelaksanaan SARA, memang ada peningkatan ketara dari segi hasil jualan dan jumlah pelanggan. Kebanyakan penerima beli barang harian seperti beras, minyak masak, telur, tepung dan susu pekat manis.

“Melalui SARA, pengguna juga lebih bijak berbelanja untuk mendapatkan kuantiti barang yang lebih banyak dengan nilai RM100 yang diterima setiap bulan,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Penyelia Pasar Raya Golden Dragon City Kinarut, Noratikah Abdullah, 24, turut mengakui pelaksanaan SARA memberi kesan positif kepada operasi pasar raya itu dengan peningkatan jualan dan jumlah pelanggan sehingga 80 peratus sejak program itu dilaksanakan.

“Kami juga menambah bekalan barangan asas seperti beras, minyak masak, gula dan tepung kepada dua kali ganda. Selain itu, promosi Jualan Rahmah diadakan setiap minggu bagi menawarkan barangan pada harga lebih murah, sekali gus membolehkan penerima SARA mendapatkan lebih banyak barangan,” katanya.

Penyelia Pasar Raya Bataras Putatan, Dayang Norhaini Anderias, 24, pula berkata pihaknya memastikan bekalan barangan asas mencukupi pada setiap bulan bagi memastikan pelaksanaan program berjalan lancar.

“Biasanya penerima SARA datang membeli barang keperluan pada minggu pertama setiap bulan menyebabkan kaunter agak sesak. Ada juga produk PMKS dijual di bawah program SARA tetapi masih tidak ramai pelanggan mengenalinya,” katanya.

Bagi usahawan kecil seperti Chin Araman, 44, yang baharu menceburi perniagaan bosou sayuran sejak awal tahun ini, SARA membantu menampung kos bahan mentah yang digunakan.

“Bahan-bahan seperti minyak masak dan barangan harian lain boleh dibeli menggunakan bantuan SARA. Ini membantu kami mengurangkan kos,” katanya.

Bosou sayuran ialah makanan tradisional masyarakat Kadazandusun yang dihasilkan melalui proses fermentasi sayuran dan biasanya digoreng bersama bawang serta halia sebelum dihidangkan.

Bapa kepada empat anak itu menggunakan bahan seperti nangka, lobak merah, daun bawang, bunga kantan dan tuhau untuk menghasilkan bosou yang dijual pada harga RM15 sebungkus.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata pembelian barangan asas yang tersenarai dalam bantuan SARA memberi limpahan manfaat kepada usahawan PMKS melalui peningkatan permintaan dalam rantaian bekalan.

“Pembelian barangan SARA mewujudkan rantaian bekalan yang memberi manfaat kepada seluruh ekosistem iaitu daripada pengeluar, pengedar hingga ke peniaga runcit,” katanya.

SARA ialah inisiatif bantuan tunai bersasar yang kini merangkumi 5.4 juta penerima di seluruh negara, terdiri daripada 700,000 isi rumah eKasih dan 4.7 juta penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR).

Di bawah Belanjawan 2025, peruntukan bagi STR dan SARA dinaikkan kepada RM13 bilion berbanding RM10 bilion sebelum ini, manakala kadar tahunan SARA ditingkatkan daripada RM1,200 kepada RM2,100.

Bersempena dengan sambutan Hari Kebangsaan, kerajaan mengumumkan Penghargaan SARA, pemberian tunai RM100 yang dikreditkan menerusi MyKad kepada semua rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas, memanfaatkan 22 juta orang dengan peruntukan tambahan sebanyak RM2 bilion, menjadikan jumlah peruntukan STR dan SARA tahun ini ialah RM15 bilion, yang tertinggi dalam sejarah bantuan tunai negara.

Setakat ini, lebih 8,100 kedai runcit di seluruh negara menyertai program ini, menawarkan lebih 90,000 barangan keperluan merangkumi 14 kategori termasuk beras, telur, ubat-ubatan, pencuci, kelengkapan sekolah dan produk kebersihan – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *