Enam rumah rosak teruk dibadai ribut, hujan batu di Gua Musang

GUA MUSANG: Enam rumah dilaporkan rosak teruk selepas dibadai ribut disertai hujan batu di Kampung Batu 2 di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Gua Musang Supt Sik Choon Foo mengesahkan kejadian itu dan berkata sehingga kini lima laporan diterima.

Beliau menegaskan tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.

Seorang penduduk kampung Norjannatun Shuhada Hanusi, 34, berkata angin kencang berlaku pada 4.45 petang.

Katanya, angin kencang itu pada awalnya menerbangkan kepingan zink pada bahagian garaj sebelum merosakkan atap di bilik dan ruang tamu rumahnya.

“Kami amat terkejut dan tidak menyangka rumah akan dibadai ribut. Ketika kejadian, beberapa ahli keluarga melaungkan azan, manakala yang lain menenangkan anak-anak yang ketakutan sambil berpelukan di ruang tamu,“ katanya.

“Kami hanya mampu berdoa dan bertawakal sambil menyaksikan kepingan zink diterbangkan angin dari dalam rumah.”

Mangsa lain, Rohida Che Kob, 54, yang bersendirian ketika kejadian menyifatkan peristiwa itu amat menakutkan.

Beliau berkata masih terdengar bunyi angin kencang yang membadai atap kediamannya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *