KUALA LUMPUR: Syarikat tidak dibenarkan mengarah pekerja untuk mengisi petrol menggunakan bantuan subsidi bersasar BUDI MADANI RON95 (BUDI95) bagi kegunaan kenderaan milik syarikat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sekiranya perkara itu berlaku, pekerja boleh membuat laporan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).
“Boleh buat laporan kepada pihak KPDN ataupun maklumkan pihak berwajib untuk mengambil tindakan,“ katanya.
Beliau mengulas mengenai video tular membabitkan seorang pekerja syarikat kurier yang didakwa mengisi petrol untuk kenderaan majikannya menggunakan bantuan subsidi bersasar BUDI95.
Fahmi berkata beliau telah meminta MCMC menghubungi CEO syarikat kurier berkenaan kerana syarikat itu menerima lesen daripada MCMC.
“CEO syarikat kurier itu mengakui bahawa mereka mempunyai fleet card dan pekerja berkenaan telah pun menurunkan kandungan tersebut,“ katanya.
Beliau berkata syarikat kurier itu memaklumkan kepada MCMC bahawa pekerja tersebut telah memohon maaf.
Berikutan isu berkenaan, Fahmi berkata beliau telah berhubung dengan Kementerian Kewangan dan Persatuan Syarikat Penghantaran Ekspress Malaysia (AMEC).
Tujuannya adalah untuk meneliti mekanisme bantuan yang bersesuaian untuk pekerja syarikat penghantaran, khususnya dalam kalangan pekerja ekonomi gig.
“Pihak Kementerian Kewangan sedang meneliti kemungkinan dimasukkan sebagai sebahagian daripada pekerja gig yang mendapat kuota BUDI95,“ katanya.
Menerusi subsidi bersasar BUDI95, lebih 16 juta rakyat menikmati harga subsidi RON95 pada kadar RM1.99 seliter berbanding RM2.60 seliter tanpa subsidi. – Bernama