KUALA LUMPUR: Kesemua sembilan kapal misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition dan Thousand Madleens To Gaza telah dirampas secara haram oleh Israel termasuk yang membawa sembilan sukarelawan Malaysia pada 10.50 pagi waktu Malaysia.
Pengerusi Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Datuk Seri Prof Dr Kamal Nasharuddin Mustapha berkata mereka mula terputus hubungan komunikasi dengan sukarelawan misi kemanusiaan pada 10.03 pagi.
“Kapal pertama Sun Bird di bawah TTMG telah ditangkap dalam lingkungan titik 120 batu nautika diikuti lapan kapal lain termasuk Conscience dan kapal terakhir yang dipintas ialah Umm Saad,” katanya pada sidang media di ibu pejabat MyCARE di sini hari ini.
Beliau berkata rakyat Malaysia di atas kapal Conscience ialah Ketua Delegasi Malaysia Prof Emeritus Dr Mohd Alauddin, Dr Fauziah Mohd Hassan, Dr Hafiz Sulaiman dan Dr Ili Syakira Mohd Suhaimi.
Turut berada di atas kapal sama Prof Dr Mohd Afandi Salleh, Dr Noorhasyimah Ismail, Norsham Abu Bakar dan wartawan Astro Awani Syafik Shukri Abdul Jalil manakala seorang lagi doktor perubatan iaitu Dr Maziah Muhammad berada di atas kapal Umm Saad.
Dr Kamal Nasharuddin berkata kesemua ahli keluarga sukarelawan Malaysia telah dimaklumkan mengenai situasi berkenaan dan MyCARE akan berusaha sebaik mungkin menyediakan kemudahan kepada ahli keluarga yang hadir mengikuti perkembangan terkini di ibu pejabat MyCARE.
Beliau berkata MyCARE juga telah memaklumkan kepada Wisma Putra selain turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia dalam menangani situasi itu.
“Perdana Menteri juga menyatakan hasrat untuk membantu peserta ini dan mengeluarkan mereka daripada tahanan melalui hubungan diplomatik Malaysia dengan negara-negara sahabat,” katanya sambil menambah pasukan peguam Pusat Undang-Undang bagi Hak Minoriti Arab di Israel (ADALAH) sudah dimaklumkan mengenai penahanan dan bersedia mendapatkan maklumat lanjut mengenai perkara itu.
Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE Kamarul Zaman Shaharul Anwar dalam sidang media sama berkata kapal layar dipintas melalui laut manakala kapal Conscience melalui udara disebabkan oleh ketinggiannya.
“Kita tak jangka keadaan berlaku seawal ini kerana selalunya pintasan sebelum ini dalam 100 batu nautika tetapi yang kali ini dalam anggaran 120 batu nautika dan jauh lagi daripada target yang selalu dipintas,” katanya.
Perdana Menteri berkata tindakan menahan kapal yang membawa bantuan untuk rakyat Gaza adalah tidak berperikemanusiaan dan mencabuli prinsip asas hak asasi manusia serta maruah kemanusiaan sejagat.
Misi kemanusiaan itu bertujuan menghadirkan liputan langsung dan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza yang sedang dikepung serta berdepan sekatan Israel.
Secara keseluruhan misi kali ini disertai kira-kira 150 peserta dari 25 negara dengan MyCARE mengetuai delegasi Malaysia. – Bernama