SIBU: Polis menahan seorang pemandu e-hailing yang dipercayai memuat naik kenyataan berunsur ugutan menggunakan dialek Melanau sambil mengacukan pisau dalam rakaman video di media sosial di Mukah petang semalam.
Ketua Polis Daerah Mukah DSP Muhamad Rizal Alias menyatakan suspek berusia 36 tahun itu ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Mukah pada pukul 5.30 petang.
Polis turut merampas sebilah parang, seunit telefon bimbit, sebuah kereta, topeng muka serta pakaian yang digunakan semasa rakaman video dibuat.
Hasil ujian air kencing mendapati suspek negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Muhamad Rizal berkata polis memperoleh perintah reman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan lanjut.
Pihak polis menerima laporan berhubung video berdurasi dua minit 16 saat yang tular di media sosial itu.
Video tersebut memaparkan seorang lelaki mengeluarkan kata-kata ugutan dalam dialek Melanau sambil mengacukan sebilah parang.
Laporan diterima daripada seorang lelaki berumur 34 tahun yang juga mangsa ugutan dan bekerja di sebuah syarikat swasta pada 6 Oktober kira-kira pukul 5 petang.
Bertindak atas maklumat dan risikan, suspek berjaya ditangkap pada hari yang sama.
Siasatan mendapati pengadu dan suspek saling mengenali antara satu sama lain.
Kejadian berpunca apabila pengadu menegur suspek atas tingkah laku yang kurang sopan.
Teguran tersebut menyebabkan suspek berang lalu memuat naik video berunsur ugutan di Facebook – Bernama