Belanjawan 2026 perkukuh perlindungan sosial dan industri masa depan

KUALA LUMPUR: Belanjawan 2026 akan memperkukuh perlindungan sosial dan meningkatkan daya tahan isi rumah manakala pelaburan bakal menumpukan kepada semikonduktor, peralihan tenaga, pendigitalan, syarikat pemula niaga dan industri masa depan.

Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata belanjawan yang akan dibentangkan pada Jumaat ini memberi penekanan kepada melindungi isi rumah daripada tekanan pada masa ini di samping meletakkan asas bagi pertumbuhan masa hadapan.

Beliau menegaskan belanjawan 2026 dirangka dengan menjadikan keluarga yang mengimbangi belanjawan bulanan dan generasi muda yang mencari pekerjaan pertama sebagai keutamaan.

Amir Hamzah menjelaskan belanjawan berkenaan bukan sekadar langkah yang bersendiri sendiri sebaliknya permulaan kepada Rancangan Malaysia Ke-13 yang akan merangka hala tuju Malaysia bermula 2026 hingga 2030.

Beliau menyatakan hala tuju Malaysia jelas dengan melaksanakan semula pengindustrian menerusi Pelan Induk Perindustrian Baharu dan menerajui semikonduktor melalui Strategi Semikonduktor Nasional.

Malaysia juga akan mempercepat peralihan tenaga dan memanfaatkan pendigitalan serta inovasi untuk menjamin pekerjaan yang lebih baik dan perniagaan lebih kukuh.

Belanjawan ini turut menjamin asas fiskal dengan mengurangkan defisit fiskal kepada 3.8 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar tahun ini.

Kerajaan juga akan mengurangkan kebergantungan kepada hutang dan memperkukuh tadbir urus melalui Akta Tanggungjawab Fiskal 2023 serta undang-undang baharu mengenai ketelusan.

Amir Hamzah menekankan Rancangan Malaysia Ke-13 bukan sekadar rancangan ke atas ekonomi malah rancangan untuk rakyat Malaysia.

Bagi pekerja, ini bermakna pekerjaan yang lebih baik manakala bagi isi rumah ia menjanjikan kehidupan yang lebih mampu milik.

Perusahaan kecil akan mendapat sokongan yang lebih kuat untuk berkembang dan golongan muda akan menikmati lebih banyak peluang untuk terus berada di negara ini.

Beliau turut menegaskan ekonomi Malaysia kekal berdaya tahan walaupun berdepan cabaran global.

Malaysia telah memaparkan daya tahan dengan pelaburan langsung asing tertinggi yang pernah direkodkan dan pengukuhan ringgit.

Negara ini juga mencatatkan daya saing yang semakin baik, pengangguran menurun dan inflasi rendah. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *