KUALA LUMPUR: Isu projek sakit membabitkan pembinaan sekolah dan perumahan rakyat menjadi tumpuan majoriti Ahli Parlimen pada sesi perbahasan usul Laporan Ketua Audit Negara 3/2025.
Vivian Wong Shir Yee menegaskan kelemahan pelaksanaan projek kerajaan yang berulang saban tahun menuntut tindakan punitif lebih tegas terhadap pihak bertanggungjawab.
Beliau berkata sehingga 31 Disember 2024, sebanyak 157 projek sakit dilaporkan membabitkan 18 kementerian termasuk Kementerian Pendidikan dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
“Rakyat mula mempersoalkan keberkesanan laporan audit dalam membawa perubahan yang nyata,” katanya ketika membahaskan usul berkenaan.
Wong turut membangkitkan kelewatan projek pangkalan operasi hadapan di Pulau Mabul yang diluluskan hampir 10 tahun lepas namun masih belum siap.
Projek tersebut kini memerlukan kos tambahan RM28.7 juta selepas mengalami kelewatan yang berpanjangan.
Salamiah Mohd Nor merujuk kelewatan projek di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dalam perbahasan sama.
Beliau menyatakan Felcra gagal membayar dividen lebih RM12 juta kepada lebih 10,000 peneroka.
Sebanyak 3,000 unit rumah rakyat bernilai RM450 juta juga dilaporkan terbengkalai di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.
Bagi sektor pendidikan, peruntukan RM200 juta bagi sekolah luar bandar tidak diagih dengan cekap.
Keadaan ini menyebabkan lebih 150 sekolah kekurangan fasiliti dan pembinaannya lewat sehingga sembilan bulan.
Datuk Mohd Isam Mohd Isa menggesa kerajaan mempercepatkan pelaksanaan sistem dalam talian e-Baki Nombor Pendaftaran Kenderaan.
Beliau berkata terdapat 375,762 nombor pendaftaran tidak aktif yang masih belum terjual sejak 2024.
Kuala Lumpur merekodkan jumlah tertinggi 98,910 diikuti Johor 49,851 dan Putrajaya 45,467 nombor pendaftaran tidak aktif.
“Saya yakin angka ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa,” katanya.
Masalah ini dikhuatiri mengakibatkan kerugian besar terhadap kerajaan sekurang-kurangnya RM112.73 juta.
Sebanyak 23 Ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan usul berkenaan.
Sesi penggulungan bagi kementerian-kementerian berkaitan dijadualkan berlangsung esok.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Azalina Othman Said berkata pembentangan LKAN di Dewan Rakyat bertujuan memastikan mekanisme semakan kewangan berfungsi berkesan.
Beliau berkata langkah pemerkasaan itu direalisasikan apabila Akta Audit 1957 dipinda pada 2024 selepas 33 tahun tidak disentuh.
“Pindaan ini membuka lembaran baharu kepada Jabatan Audit Negara sebagai institusi audit bebas,” katanya.
Azalina menekankan hanya melalui perbahasan dan penelitian dapat memperbaiki kelemahan dan menambah baik sistem.
“Apabila ruang untuk perbahasan diberi, ia membuktikan Kerajaan MADANI ini tidak takut kepada kritikan,” tambahnya.
Beliau berkata LKAN dibentang dan dibahas buat kali keenam di Dewan Rakyat dengan trend positif dari tahun ke tahun.
Persidangan Dewan Rakyat bersambung esok dengan sesi penggulungan bagi kementerian-kementerian berkaitan. – Bernama