TPR tunggu arahan AGC berhubung prosiding terhadap Mohd Shafie

KOTA KINABALU: Timbalan Pendakwa Raya sedang menunggu arahan selanjutnya daripada Peguam Negara Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar sama ada untuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah terhadap Presiden Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Hal ini susulan kenyataan Mohd Shafie berhubung siasatan inkues yang sedang dijalankan mengenai kematian pelajar Tingkatan Satu Allahyarham Zara Qairina Mahathir.

Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairuz Johari yang bertindak selaku pegawai pengendali inkues mendedahkan perkara itu ketika ditanya Koroner Amir Shah Amir Hassan mengenai status notis tunjuk sebab yang telah dikeluarkan kepada ahli politik terbabit pada 22 September.

Pada 2 Oktober Mohd Dusuki mengesahkan beliau telah menerima jawapan bertulis pada 29 September daripada Mohd Shafie berhubung notis tunjuk sebab yang dikeluarkan berkaitan kenyataan mengenai inkues itu.

Pejabat Peguam Negara menyatakan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas mengikut lunas undang-undang termasuk memulakan prosiding penghinaan mahkamah setelah penelitian selesai.

Notis itu dikeluarkan pada 22 September berkaitan kenyataan Mohd Shafie semasa acara Jelajah Inspirasi DSSA P187 Kinabatangan pada 20 September dengan beliau didakwa mempersoalkan tempoh panjang inkues berhubung kematian Zara Qairina.

Notis berkenaan menetapkan tempoh tujuh hari bagi beliau memberikan maklum balas.

Inkues berhubung kematian Zara Qairina memasuki hari ke-18 prosidingnya hari ini.

Terdahulu mahkamah mendengar keterangan daripada Pengarah Kanan di Pusat Pengurusan Kualiti dan Penyelidikan Jabatan Kimia Malaysia Selangor Nor Aidora Saedon berusia 52 tahun.

Saksi ke-17 itu memberi keterangan bahawa kesan darah yang terdapat pada dua helaian kertas diari mengandungi tulisan tangan Zara Qairina sepadan dengan profil asid deoksiribonukleik yang diperoleh daripada spesimen tulang remaja terbabit.

Zara Qairina berusia 13 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran dengan asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Setakat ini sebanyak 17 saksi termasuk lapan kanak-kanak telah memberi keterangan dalam inkues yang bermula 3 September lepas.

Prosiding inkues akan bersambung esok dengan keterangan saksi kanak-kanak. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *