Digitalisasi Mahkamah Syariah perkukuh sistem keadilan, lindungi hak wanita dan anak

KUALA LUMPUR: Kerajaan melaksanakan agenda digitalisasi mahkamah syariah menerusi sistem e-Syariah bagi memperkukuh sistem keadilan syariah agar lebih telus, mesra pengguna dan berkesan, khususnya dalam melindungi hak serta kepentingan wanita dan anak-anak.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata antara usaha utama yang dilakukan kerajaan adalah melalui aplikasi mudah alih e-Syariah dan Modul e-Nafkah.

Beliau berkata melalui aplikasi e-Syariah yang boleh dimuat turun di Apple App Store, Google Play Store, dan Huawei Apps Gallery, orang ramai boleh mendaftar dan menyemak status kes nafkah, perceraian, hak penjagaan anak dan harta sepencarian secara kendiri tanpa perlu hadir ke mahkamah.

“Selain itu, kita juga ada Modul e-Nafkah yang membolehkan untuk memantau pengurusan kes nafkah keluarga secara sistematik bagi memastikan pelaksanaan perintah dipenuhi, termasuk semakan status nafkah, kutipan nafkah, termasuk pelaksanaan perintah nafkah secara dalam talian,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Syahredzan Johan (PH-Bangi) yang ingin tahu usaha kerajaan dalam meningkatkan akses keadilan wanita dalam kes keluarga, termasuk langkah digitalisasi mahkamah syariah, pemodenan prosedur guaman serta inisiatif lain bagi memperkukuh perlindungan hak dan kepentingan wanita.

Selain itu, Zulkifli berkata kerajaan turut melaksanakan prapendaftaran Kes Syariah Kendiri ataupun (DIY e-Filing) dan penggunaan teknologi komunikasi jarak jauh di bawah Kaedah Tatacara Mal Mahkamah Syariah yang memudahkan pihak hadir tanpa perlu berada secara fizikal di mahkamah.

“Langkah ini sejajar dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk memperkukuh sistem keadilan Syariah yang lebih telus, mesra pengguna dan berkesan, khususnya bagi melindungi hak serta kepentingan wanita dan anak-anak,” katanya – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *