Polis mohon bantuan kenal pasti mayat lelaki tanpa tangan ditemui di sungai

SIBU: Ibu Pejabat Polis Daerah Meradong memohon bantuan orang ramai untuk mengenal pasti mayat lelaki tanpa kedua-dua tangan yang ditemui terapung di Sungai Kawi, Bintangor, di Sarikei petang semalam.

Ketua Polis Daerah Meradong DSP Tansli Mering berkata mayat lelaki itu hanya memakai seluar jean biru ketika ditemui.

Mayat dijumpai kira-kira dua kilometer dari Rumah Panjang Tuai Rumah Dangat pada 1.35 tengah hari sebelum dibawa ke Unit Forensik Hospital Sarikei.

“Tiada sebarang dokumen pengenalan diri dijumpai pada mayat itu,“ katanya dalam kenyataan hari ini.

“Pihak IPD Meradong telah memohon bedah siasat dijalankan bagi mengetahui punca kematian dan mengambil sampel DNA untuk tujuan perbandingan.”

Pemeriksaan awal menemui kesan kecederaan pada kaki kanan mayat tersebut.

Wajah lelaki terbabit didapati bengkak dan dianggarkan telah meninggal dunia kira-kira seminggu lepas.

Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengecut dan orang ramai diminta tampil membantu.

Mereka yang kehilangan ahli keluarga atau sanak saudara diminta hadir ke Balai Polis Bintangor bagi tujuan pengecaman.

Tansli berkata pihaknya belum menerima sebarang laporan berkaitan orang hilang di kawasan berkenaan sejak awal bulan ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *