Malaysia, Pakistan gesa tindakan konkrit henti penderitaan di Gaza

PUTRAJAYA: Malaysia dan Pakistan bersama-sama menggesa masyarakat antarabangsa mengambil tindakan konkrit bagi menamatkan penderitaan berpanjangan jutaan penduduk Palestin di Gaza.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kedua-dua negara sepakat menggesa agar segala permusuhan dihentikan serta-merta dan akses kemanusiaan ke Gaza dipulihkan tanpa sebarang kelewatan.

“Saya amat menghargai pendirian tegas Pakistan. Di Doha, kami bersama menyatakan bahawa seruan dan kenyataan semata-mata tanpa cadangan tindakan konkrit tidak mencukupi untuk menamatkan penderitaan jutaan rakyat di Gaza dan Palestin,“ katanya pada sidang media bersama Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif.

Anwar berkata Malaysia memandang positif inisiatif keamanan 20 perkara yang dicadangkan oleh Presiden Amerika Syarikat Donald Trump namun tetap mengekalkan beberapa kekhuatiran terhadap sebahagian kerangka cadangan tersebut.

“Sekurang-kurangnya ia menyeru supaya permusuhan dihentikan, bagi menamatkan pengeboman dan pembunuhan tidak berperikemanusiaan oleh rejim Zionis Israel di Gaza. Tuntutan ini kini jelas disuarakan oleh negara-negara Arab, negara Islam dan kebanyakan negara di dunia,“ katanya.

Anwar turut menyatakan harapan agar dengan sokongan dan komitmen Amerika Syarikat serta masyarakat antarabangsa secara keseluruhan, keamanan yang berkekalan dapat dicapai.

“Saya tidak dapat membayangkan bahawa pada tahun 2025, selepas begitu banyak penderitaan, masih ada wanita dan bayi yang dibom serta dibunuh. Ini benar-benar tidak masuk akal,“ katanya.

Beliau menekankan bahawa akses kepada bantuan kemanusiaan amat mendesak untuk disalurkan ke Gaza.

Mengenai Asia Selatan, Anwar turut mengulas ketegangan serantau antara Pakistan dan India sambil menekankan kepentingan kerjasama dalam memerangi keganasan serta memupuk kestabilan di rantau berkenaan.

“Adalah penting bagi rantau ini untuk bersatu dan bekerjasama dalam usaha menentang keganasan,“ katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *