Pasaran karbon Artikel 6 dijangka beroperasi 2026, sokong komitmen iklim Malaysia

KUALA LUMPUR: Malaysia menjangkakan mekanisme pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6 Perjanjian Paris dapat beroperasi seawal tahun 2026 bagi menyokong pelaksanaan komitmen negara terhadap pengurangan gas rumah hijau.

Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Huang Tiong Sii berkata dua mekanisme utama sedang dibangunkan di bawah UNFCCC.

Pendekatan kerjasama dua hala di bawah Artikel 6.2 dan mekanisme perdagangan yang diuruskan UNFCCC dikenali sebagai Paris Agreement Crediting Mechanism (PACM) di bawah Artikel 6.4 sedang dilaksanakan.

Beliau berkata pelaksanaan kedua-dua mekanisme itu membolehkan projek karbon di Malaysia menyumbang kepada pengurangan pelepasan gas rumah hijau.

“Mekanisme ini juga akan memperkukuh keupayaan teknologi tempatan serta mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan hijau,“ katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat.

Kementerian sedang memuktamadkan Dasar Pasaran Karbon Kebangsaan (TPGG) yang menetapkan asas pelaksanaan Artikel 6.2 dan Artikel 6.4.

Dasar ini juga menyokong penubuhan pasaran karbon sukarela di bawah Bursa Carbon Exchange (BCX) yang dilancarkan pada 25 September 2023.

Kerajaan juga sedang mempertimbangkan permohonan projek di bawah Clean Development Mechanism (CDM) untuk diselaraskan dengan mekanisme pasaran pematuhan Artikel 6.4.

Malaysia telah menandatangani dua memorandum persefahaman bagi kerjasama dua hala di bawah Artikel 6.2.

Perjanjian melibatkan Republik Korea pada 25 November 2024 dan Singapura pada 7 Januari lepas.

“Melalui MoU ini, kedua-dua negara boleh membuat pelaburan bagi pelaksanaan projek karbon di Malaysia,“ jelas Huang.

Beberapa komponen teknikal di bawah Artikel 6.4 sedang dibangunkan termasuk penubuhan badan kawal selia.

Penetapan garis panduan asas metodologi dan aktiviti penyerapan karbon serta registri sementara bagi merekodkan aktiviti dan urus niaga karbon turut dilaksanakan.

“Namun, elemen teknikal seperti metodologi khusus, pendaftaran lengkap dan prosedur pelarasan masih belum dimuktamadkan, menyebabkan kredit karbon belum dapat dikeluarkan secara rasmi,“ katanya.

Penglibatan syarikat tempatan dalam pasaran karbon dijangka lebih rancak sebaik Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara dilaksanakan.

Rang undang-undang ini akan menetapkan tatacara penyertaan dalam pasaran karbon pematuhan di bawah Artikel 6.

Malaysia Forest Fund (MFF) turut ditubuhkan bagi menggalakkan pembangunan projek karbon berasaskan hutan.

Dana ini juga akan memudah cara pelaksanaan projek karbon oleh syarikat tempatan. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *