PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan jamuan tengah hari bagi meraikan Perdana Menteri Pakistan Muhammad Shehbaz Sharif di Seri Perdana.
Anwar dan Shehbaz tiba bersama menaiki kenderaan sama pada 12.55 tengah hari disambut laungan “Welcome to Malaysia” oleh murid Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 11 (3).
Sekumpulan penari dari Istana Budaya mempersembahkan tarian sambutan bagi menyambut ketibaan pemimpin Pakistan itu.
Turut hadir ialah Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing serta Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil juga hadir.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar turut berada dalam majlis tersebut.
Terdahulu, Shehbaz diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra sebelum mengadakan mesyuarat dua hala dengan Anwar.
Shehbaz dan delegasi rasmi beliau tiba di Malaysia semalam untuk lawatan rasmi selama tiga hari atas jemputan Anwar.
Menurut kenyataan Wisma Putra, lawatan Shehbaz ke Malaysia merupakan kunjungan balas kepada lawatan rasmi Anwar ke Pakistan pada Oktober 2024.
Kunjungan ini mencerminkan hubungan erat antara kedua-dua negara yang dijangka mengukuhkan lagi hubungan dua hala.
Lawatan itu juga diharap dapat mempertingkat kerjasama dalam bidang yang memberi manfaat bersama kepada kedua-dua negara.
Malaysia dan Pakistan menjalin hubungan diplomatik sejak 1957 dengan hubungan itu dipertingkat kepada Rakan Strategik pada Mac 2019.
Pada 2024, jumlah dagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah RM8.07 bilion meningkat 25.5% berbanding 2023.
Eksport utama Malaysia ke Pakistan merangkumi minyak sawit, petroleum dan produk kimia.
Import dari Pakistan terdiri daripada hasil pertanian, tekstil, pakaian, kasut serta produk petroleum. – Bernama