DENGKIL: Kerajaan Selangor menyasarkan kira-kira 4,000 unit rumah dapat disediakan di bawah inisiatif Skim SMART Sewa menjelang 2028.
Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya mempunyai kira-kira 1,000 unit rumah bagi pelaksanaan skim berkenaan ketika ini.
Beliau menjangkakan bilangan itu akan meningkat menerusi projek Rumah Harapan dan Rumah Idaman di Selangor.
“Setiap kali siap sahaja Rumah Idaman dan Rumah Harapan, ini bermakna kerajaan negeri juga akan menerima rumah ini yang akan diberikan (daripada pemaju) termasuk di Lembah Subang.”
“Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) juga sedang berunding saat akhir dan kita ingin selesaikan beberapa benda (misalnya) di Lembah Subang ada banyak blok dan pertambahan (unit), saya ingat antara 1,000 hingga 2,000 rumah (untuk SMART Sewa).”
Amirudin berkata kerajaan negeri komited untuk memperluaskan akses perumahan mampu milik kepada rakyat.
Beliau menekankan komitmen itu khususnya untuk golongan berpendapatan rendah dan sederhana di Selangor.
“Saya tahu ada rakyat yang tidak mampu untuk beli rumah, kita tidak akan paksa anda memiliki rumah atau biarkan anda menderita (sebab itu) ada SMART Sewa.”
SMART Sewa ialah skim yang menawarkan sewaan rumah kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana.
Tiga puluh peratus daripada jumlah sewaan bersih akan digunakan untuk membayar deposit pembelian Rumah Selangorku. – Bernama