BUKIT MERTAJAM: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 2,946 notis saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 26 kenderaan perdagangan dalam Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di negeri itu sepanjang bulan lepas.
Pengarahnya Zulkifly Ismail berkata dalam operasi bermula 1 hingga 30 September itu, pihaknya telah memeriksa 19,191 kenderaan perdagangan.
Sebanyak 1,616 kenderaan telah diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan.
“Antara kesalahan paling tinggi direkodkan ialah tiada Lesen Vokasional (GDL/PSV) iaitu sebanyak 398 notis saman, membawa muatan melebihi had dibenarkan (277), lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen (232), lesen kenderaan motor tamat tempoh (227) dan tiada perlindungan insurans (85).”
JPJ Pulau Pinang turut mengesan tiga kenderaan perdagangan dikuasai warga asing.
“Kami sita kenderaan serta saman kerana warga asing tidak dibenarkan bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan,“ katanya kepada pemberita selepas operasi di Plaza Tol Juru arah utara.
Pemeriksaan mendapati tiga lelaki warga asing berusia 20-an itu mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan permit kerja dalam sektor lain.
Mereka dipercayai bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan kerana mudah mendapat pekerjaan tersebut.
Zulkifly berkata pemeriksaan juga mendapati majikan mengambil warga asing kerana gaji yang diberikan lebih rendah berbanding pekerja tempatan.
Operasi itu akan diteruskan hingga 31 Disember bagi memastikan pematuhan undang-undang pengangkutan.
Sementara itu, beliau memaklumkan sejak 1 Oktober hingga semalam, pihaknya telah memeriksa 165 kenderaan perdagangan bagi penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD).
Daripada jumlah itu, 31 kenderaan mempunyai slip SLD semasa diperiksa manakala 91 kenderaan diambil tindakan.
“Kita tengok dari segi pematuhan adalah positif dan kita menyeru kepada semua pengusaha kenderaan perdagangan agar memastikan pematuhan penuh terhadap pemasangan bertujuan mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat,“ katanya.
SLD ialah peranti kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan. – Bernama