Dasar luar Malaysia terhadap Palestin, isu Kampung Baru dibangkit di Parlimen

KUALA LUMPUR: Dasar luar Malaysia terhadap Palestin dan isu pembangunan Kampung Baru antara perkara utama dibangkitkan pada hari pertama Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15.

Syed Ibrahim Syed Noh (PH-Ledang) meminta Menteri Luar menyatakan perubahan utama dalam pendirian dasar luar Malaysia selepas Sidang Kemuncak Luar Biasa Arab-Islam khusus mengenai situasi di Palestin.

Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pula meminta Perdana Menteri menjelaskan cabaran pembangunan tanah rizab Melayu di Kuala Lumpur seperti Kampung Baru.

Beliau turut bertanya sejauh mana faktor pemilikan tanah bertindih dan nilai pasaran terhad menyumbang kepada isu tersebut.

Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) bertanya kepada Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam mengenai perkembangan ekosistem pasaran dagang karbon negara.

Beliau juga ingin tahu jumlah memorandum persefahaman dua hala yang dimeterai kerajaan dalam pasaran kredit karbon berdasarkan Sumbangan Ditentukan Negara menurut Artikel 6.2 Perjanjian Paris.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) meminta Perdana Menteri memaklumkan status terkini cadangan pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

William Leong Jee Keen (PH-Selayang) bertanya kepada Menteri Pertahanan sama ada kementerian telah menjalankan kajian pascanilai terhadap pelaksanaan modul Program Latihan Khidmat Negara.

Selesai sesi soal jawab, persidangan diteruskan dengan pembentangan Rang Undang-Undang Sewa Beli (Pindaan) 2025 untuk bacaan kali pertama.

Tiga sesi penerangan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen turut diadakan termasuk berhubung insiden letupan gas di Putra Heights.

Penerangan lain meliputi potensi dan hala tuju air bawah tanah di Malaysia serta penjagaan dan pendidikan awal kanak-kanak di Malaysia.

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen Ke-15 akan berlangsung selama 35 hari hingga 4 Disember ini. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *