SIMUNJAN: Kerajaan Sarawak giat melaksanakan pelbagai transformasi ekonomi yang memberi kesan positif kepada semua rakyat di bandar dan luar bandar.
Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata pembinaan Jalan Pesisir menghubungkan Tanjung Datu hingga ke Lawas mampu meningkatkan pendapatan rakyat.
Beliau menyatakan pembinaan itu turut memperkukuh asas pembangunan dalam pelbagai sektor termasuk pertanian, sosial dan infrastruktur.
“Kawasan Gedong dan Simunjan kini turut menikmati manfaat pembangunan kerana kedua-duanya mempunyai hubungan rapat dari segi sejarah dan pentadbiran,” katanya ketika berucap pada Majlis Pesta Simunjan di sini hari ini.
Abang Johari berkata pembinaan jalan dari Serian hingga ke Simunjan melalui Gedong dan Samarahan turut akan dilaksanakan.
Jalan empat lorong itu akan bersambung hingga ke Tanjung Embang iaitu lokasi pembinaan lapangan terbang baharu Sarawak.
“Kita juga akan membangunkan pelabuhan gas sebagai sebahagian daripada pelan pembangunan ekonomi baharu Sarawak.”
“Semua ini akan membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi setempat,” katanya.
Beliau menambah kerajaan Sarawak juga akan membina benteng tebing sungai di Simunjan.
Pembinaan itu bukan sahaja untuk mencegah hakisan tetapi menyerupai tebingan sungai bandar Kuching.
Peruntukan lebih RM100 juta telah diluluskan untuk projek tersebut yang kini dalam peringkat reka bentuk. – Bernama