Kehadiran Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN keputusan bersama pemimpin

JOHOR BAHRU: Kehadiran Presiden Amerika Syarikat Donald Trump ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di ibu negara hujung bulan ini bukan keputusan eksklusif Malaysia sebagai tuan rumah, sebaliknya konsensus semua negara anggota.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata sebagai Pengerusi ASEAN, Malaysia menghormati keputusan sebulat suara dibuat kesemua 10 pemimpin ASEAN berkenaan.

Ahmad Zahid berkata bagaimanapun, Malaysia kekal dengan pendirian tegas menentang sebarang campur tangan Amerika Syarikat dalam isu Gaza dan Palestin.

“Trump ialah Presiden Amerika Syarikat, namun ini tidak menghentikan ketidaksetujuan kita jika ada campur tangan Amerika terhadap apa yang berlaku di Gaza dan Palestin.

“Pendirian itu tidak pernah berubah, namun sebagai pengerusi ASEAN, Malaysia harus menghormati keputusan sebulat suara pemimpin-pemimpin ASEAN,” katanya pada sidang media selepas melancarkan Skuad Yayasan Pelajaran MARA Peringkat Negeri Johor 2025 di Stadium Tertutup Arena Larkin, di sini hari ini.

Menurut beliau, isu kehadiran Trump itu juga berkemungkinan dibahas pada sidang Parlimen yang akan bermula esok.

“Mereka (Ahli Parlimen) boleh berbeza pendapat, tetapi kita harus menghormati keputusan Sekretariat ASEAN,” katanya. – Bernama

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *