BUKIT MERTAJAM: Kementerian Pendidikan Malaysia menekankan pendekatan mendidik berbanding hukuman semata-mata dalam menangani isu buli di sekolah.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyatakan semua prosedur operasi standard berkaitan kes buli perlu diberi perhatian pada peringkat awal.
Beliau menegaskan pendekatan mendidik lebih berkesan daripada sekadar menghukum pelajar yang terlibat dalam buli.
“Kita boleh ambil tindakan seperti gantung atau buang sekolah, tetapi akhirnya pelajar ini tetap kembali ke sistem pendidikan,“ katanya ketika merasmikan Kempen Jelajah Anti Buli di Yayasan Aman, Penanti.
Fadhlina menjelaskan KPM bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia dalam menangani isu buli termasuk kes yang diklasifikasikan sebagai jenayah.
KPM akan mempergiat advokasi untuk mendidik pelajar tentang kesan buli mental yang memberikan impak mendalam kepada kesejahteraan emosi.
“Buli mental ini kesannya sangat mendalam dan boleh membawa kepada kesan-kesan yang lebih menakutkan jika tidak dikawal dari awal,“ katanya. – Bernama